MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr menandatangani dua undang-undang baharu yang bertujuan memperkukuh tuntutan negara itu ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan dengan mentakrifkan zon maritim dan laluan laut.
Undang-undang baharu itu – Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina – “menekankan kepentingan identiti maritim dan kepulauan kita,” kata Marcos, menurut laporan agensi berita Jerman (dpa).
“Dengan undang-undang ini, kita menyelaraskan undang-undang domestik dengan undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), meningkatkan keupayaan tadbir urus, dan memperkukuh dasar maritim kita untuk pembangunan ekonomi serta keselamatan negara,” katanya.
Akta Laluan Laut Kepulauan menetapkan laluan laut dan udara khusus untuk kapal serta pesawat asing dalam kawasan Filipina di Laut China Selatan, manakala Akta Zon Maritim merangkumi wilayah-wilayah yang turut dituntut oleh China dalam kawasan yang berada di bawah kedaulatan dan bidang kuasa Manila.
Undang-undang itu ditandatangani ketika kira-kira 3,000 anggota tentera laut, udara, dan darat Filipina mengadakan latihan ketenteraan termasuk operasi rampasan pulau dan pendaratan amfibia di Laut China Selatan.
China, yang menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, mengambil tindakan semakin agresif di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beijing mengabaikan keputusan Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa pada 2016 yang menyatakan tiada asas undang-undang atau sejarah bagi meluaskan tuntutannya.
Sementara itu, Agensi Anadolu melaporkan Kementerian Luar China di Beijing pada Jumaat memanggil Duta Filipina bagi mengemukakan “representasi tegas” terhadap Akta Zon Maritim Filipina dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina.
Laporan itu menyatakan Beijing berkata, undang-undang itu “secara tidak sah memasukkan Huangyan Dao milik China, kebanyakan Kepulauan Nansha dan perairan berkaitan ke dalam Zon Maritim Filipina.”
Langkah itu dilihat sebagai usaha untuk “memperkukuh anugerah timbang tara Laut China Selatan yang tidak sah dalam bentuk undang-undang domestik.
Tindakan ini secara serius mencabuli kedaulatan wilayah dan hak maritim China di Laut China Selatan, yang dikecam dan ditentang sekeras-kerasnya oleh China,” kata jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning.-BERNAMA-dpa/ANADOLU
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.