
KAHERAH: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijadual mengadakan rundingan dengan ketua keselamatan dan menteri semalam, selepas delegasi Tel Aviv pulang dari Kaherah.
Setakat ini, tiada sebarang persetujuan bagi melanjutkan gencatan senjata di Gaza, menurut dua pegawai Israel dalam delegasi terbabit.
Pegawai Hamas mengesahkan Israel berusaha melanjutkan gencatan senjata selama 42 hari, yang dipersetujui sebagai fasa pertama dalam perjanjian itu sepanjang Ramadan, mulai esok.
Beliau yang enggan identitinya didedahkan berkata, Hamas bagaimanapun mahu beralih kepada rundingan fasa kedua, yang akan membuka jalan ke arah penamatan perang secara kekal.
“Kami komited terhadap perjanjian ini (gencatan senjata),” katanya.
Sementara itu, beberapa pegawai berkata, pihak perantara dari Mesir dan Qatar meminta lanjutan beberapa hari untuk menyelesaikan kebuntuan mengenai gencatan senjata yang dijadualkan tamat hari ini.
Perjanjian dicapai bulan lalu, menghentikan pertempuran selama 15 bulan, selain membolehkan pertukaran 33 tebusan Israel dan lima warga Thailand dengan kira-kira 2,000 tahanan serta banduan Palestin, bertujuan membuka jalan bagi rundingan, seterusnya memperkukuh gencatan senjata.
Pegawai Israel sebelum ini menyatakan rejim Zionis bersedia meneruskan semula pertempuran di Gaza, jika semua tebusan yang masih berada dalam tahanan, tidak dibebaskan.
Namun, Israel dan Hamas masih memiliki perbezaan ketara dalam isu utama dan masing-masing mendakwa pihak lawan melanggar gencatan senjata.
Ia sekali gus menimbulkan keraguan terhadap fasa kedua perjanjian yang sepatutnya merangkumi pembebasan tambahan tebusan dan tahanan serta langkah ke arah penamatan perang secara kekal.
Tiada petunjuk mengenai persetujuan mengenai masa depan Gaza, sama ada dalam kalangan rakyat Israel serta Palestin mahupun kerajaan Barat dan Arab.
Ketidaktentuan itu merumitkan usaha rundingkan penyelesaian berkekalan.
Hamas semalam, menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Israel tidak melengahkan fasa kedua perbincangan gencatan senjata, namun kini tidak jelas apa yang akan berlaku selepas fasa pertama berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar yang juga pegawai kanan Pihak Berkuasa Palestin, Varsen Aghabekian, semalam turut mengakui mahu fasa gencatan senjata diteruskan seperti dirancang.
“Saya tidak pasti sama ada sesiapa di Gaza mahu kembali berperang,” katanya di Geneva.
Rundingan di Kaherah sedang diperantarakan oleh Mesir dan Qatar dengan sokongan Amerika Syarikat (AS). – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.