Tumpuan :
Dunia

Fasa Kedua pelepasan air sisa loji nuklear Fukushima minggu depan

TOKYO: Jepun dijangka mula melepaskan kumpulan kedua air sisa loji nuklear Fukushima ke perairannya mulai minggu depan.

Pada 24 Ogos lalu, Jepun mula menyalurkan sebahagian daripada 1.34 juta tan air sisa yang terkumpul sejak tsunami melumpuhkan kemudahan itu pada 2011, ke Lautan Pasifik.

Menurut syarikat pengendali operasi berkenaan TEPCO, pemeriksaan selepas keluaran pertama telah selesai, dan pelepasan (fasa kedua) akan bermula pada 5 Oktober.

China sebelum ini mengharamkan semua import makanan laut Jepun selepas pelepasan pertama, yang berakhir pada 11 September lalu, walaupun Tokyo memberi jaminan operasi itu tidak menimbulkan risiko.

Rusia, yang mempunyai hubungan dingin dengan Jepun juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengikuti langkah sama mengenakan larangan import makanan laut dari negara itu.

Dalam fasa pertama, kira-kira 7,800 tan air dilepaskan ke Laut Pasifik daripada jumlah yang dirancang sebanyak 1.34 juta tan, bersamaan dengan lebih daripada 500 kolam renang Olimpik.

Menurut TEPCO, air berkenaan telah ditapis daripada semua unsur radioaktif kecuali tritium, yang berada pada paras selamat.

Pandangan itu turut disokong oleh agensi atom Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

China bagaimanapun menuduh Jepun menjadikan perairan seperti ‘pembetung’ dan tuduhan itu bergema di PBB minggu lalu oleh Perdana Menteri, Manasseh Sogavare dari Kepulauan Solomon, yang menjalin hubungan rapat dengan Beijing.

Pembebasan itu dijangka mengambil masa beberapa dekad untuk dimuktamadkan, bertujuan untuk mengeluarkan bahan api radioaktif dan runtuhan yang sangat berbahaya dari reaktor yang rosak.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini