LOS ANGELES: Filem Everything Everywhere All At Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert diangkat sebagai Filem Terbaik Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 yang disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Kejayaan Everything Everywhere All At Once mengetepikan sembilan filem lain iaitu All Quiet On The Western Front, Avatar: The Way of Water, The Banshees Of Inisherin, Elvis, The Fabelmans,TAR, Top Gun: Maverick, Triangle Of Sadness dan Women Talking.
Selain memenangi kategori Filem Terbaik, filem bergenre aksi khayalan menampilkan aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh sebagai teraju utama turut menggenggam enam kategori lain iaitu Pelakon Wanita Terbaik (Yeoh), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Jamie Lee Curtis), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Ke Huy Quan), Pengarah Terbaik (Daniel Kwan dan Daniel Scheinert), Lakon Layar Terbaik dan Suntingan Filem Terbaik.
Ia sekali gus menyaksikan filem dihasilkan empat syarikat produksi, IAC Films, Gozie AGBO, Year Of The Rat dan Ley Line Entertainment itu mendahului carta pemenang Oscar Ke-95 selepas menggondol tujuh daripada 11 pencalonan diterima.
Ketika menerima trofi, Scheinert yang naik ke pentas bersama Kwan berkata, kemenangan filem Everything Everywhere All At Once dalam pentas berprestij itu didedikasi khas buat seluruh insan bergelar ibu.
“Kami ingin mendedikasikan kemenangan ini kepada ibu khususnya ibu bapa saya, Ken dan Becky.
“Terima kasih tidak mematahkan kreativiti saya ketika membuat filem seram yang sangat mengganggu atau komedi yang benar-benar sesat,” katanya.
Sementara itu, Kwan menyifatkan kejayaan dikecapi adalah usaha pelbagai pihak yang tidak pernah berhenti menyatakan sokongan kepada mereka.
“Saya tahu setiap pengarah bersetuju dengan saya apabila mengatakan seorang pengarah bukan apa-apa tanpa pelakon dan kru yang luar biasa. Ini adalah keluarga dan rakan-rakan saya.
“Jika filem kita mempunyai kehebatan, itu datangnya daripada mereka yang bersama menjayakannya. Mereka memberikan hadiah berharga ini kepada filem kami.
“Terima kasih kepada semua orang yang sudah membuka kunci kecerdasan saya,” katanya.
Tahun lalu, filem Everything Everywhere All At Once hangat diperkatakan apabila berjaya mendapat kutipan pecah panggung di seluruh dunia dengan meraih kutipan AS100 juta (RM443 juta).
Everything Everywhere All At Once berkisar seorang imigran China, Evelyn Quan Wang (Yeoh) yang terjebak ke dalam satu siri pengembaraan tidak terduga dan hanya dirinya mampu menyelamatkan dunia dengan menjelajah alam semesta lain. – AGENSI