BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) bersetuju melonggarkan beberapa sekatan terhadap Syria sebagai sebahagian daripada usaha membantu menstabilkan ekonomi negara itu selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad pada Disember lalu.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, ketika tiba di mesyuarat menteri luar EU di Brussels pada Isnin, berkata sekatan yang membabitkan sektor tenaga, pengangkutan, dan institusi kewangan akan digantung untuk memulakan proses pemulihan negara tersebut.
“Langkah ini bertujuan menyokong penstabilan kewangan dan pemulihan semula Syria selepas kejatuhan rejim Assad,” kata Barrot.
Rejim Assad yang memerintah Syria selama 54 tahun telah digulingkan pada 8 Disember lalu, menamatkan perang saudara selama 13 tahun yang menyebabkan krisis pelarian terbesar dalam sejarah moden.
Perang itu menghancurkan sebahagian besar bandar utama, memusnahkan infrastruktur asas, dan mengakibatkan majoriti penduduk hidup dalam kemiskinan, dengan sekatan barat memutuskan ekonomi rasmi Syria daripada dunia luar.
Dalam perbincangan sama, EU turut membincangkan pembaharuan sekatan ke atas Rusia.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, berkata beliau menjangkakan sekatan semasa terhadap Rusia akan diperbaharui selepas Hungary memberi ‘lampu hijau’ dengan jaminan berkaitan keselamatan tenaga.
“Saya menjangkakan keputusan untuk memperbaharui sekatan semasa,” kata Kallas kepada pemberita sebelum mesyuarat itu, beberapa hari sebelum tarikh akhir pembaharuan pada 31 Januari.
Sekatan itu termasuk larangan perdagangan sektor utama dan pembekuan aset bank pusat Rusia.
EU juga memerlukan undian sebulat suara untuk memperbaharui sekatan setiap enam bulan.
Kallas juga menekankan bahawa tekanan ke atas Rusia perlu diteruskan untuk memaksa negara itu menghentikan perang di Ukraine, sambil memuji usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang berusaha mendorong Rusia ke meja rundingan damai.
Pada masa sama, Barrot turut mengesahkan pembaharuan rejim sekatan yang telah menyebabkan kerugian 400 bilion Euro kepada Rusia, bersamaan dengan tiga tahun pembiayaan perang negara itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.