ANKARA: Recep Tayyip Erdogan mengangkat sumpah sebagai Presiden Turkiye untuk penggal ketiga selepas memenangi pemilihan semula hujung minggu lalu.
Pemimpin paling lama Turkiye itu menyatakan komitmen untuk memastikan khidmat ‘tidak berat sebelah’.
“Saya sebagai Presiden, bersumpah atas kehormatan dan integriti saya di hadapan negara dan sejarah besar Turkiye untuk menjaga kewujudan dan kemerdekaan negara,” katanya ketika majlis di Parlimen disiarkan secara langsung.
Terdahulu, Erdogan menerima mandatnya daripada Speaker Parlimen interim sebelum mengangkat sumpah.
Pemimpin berusia 69 tahun itu memenangi 52.2 peratus sokongan dalam undian terakhir pada 28 Mei.
Kemenangannya dalam pilihan raya menafikan kebanyakan tinjauan pendapat, malah hadir di sebalik krisis kos sara hidup yang dilihat berisiko menjejaskan peluangnya untuk menang.
Selepas majlis angkat sumpah, upacara akan diteruskan di Istana Presiden yang dihadiri pegawai peringkat tinggi dari 78 negara dan organisasi antarabangsa.
Pada sebelah malam pula, Erdogan dijadual menamakan barisan menteri yang akan menganggotai kabinet baharunya.
Erdogan menjadi Perdana Menteri pada 2003 selepas Parti AK diterajuinya memenangi pilihan raya pada akhir 2002 berikutan krisis ekonomi terburuk Turkiye sejak 1970-an.
Pada 2014 beliau menjadi Presiden pertama dipilih secara popular di negara itu dan dipilih semula pada 2018 selepas memperoleh kuasa eksekutif baharu untuk jawatan Presiden dalam referendum 2017.