VILNIUS: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akhirnya bersetuju menyokong bidaan Sweden untuk menjadi sebahagian daripada anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Keputusan Erdogan itu dianggap ‘sejarah baharu’ kerana sebelum ini, hampir berbulan-bulan beliau menentang penyertaan negara itu dalam NATO.
Menurut Penasihat NATO, Jens Stoltenberg, Presiden Erdogan akan mengemukakan syor beliau itu kepada Parlimen Turkiye bagi memperoleh pengesahan.
Persetujuan itu dicapai selepas Erdogan dan Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson mengadakan perbincangan di Vilnius, Lithuania.
Keahlian NATO memerlukan persetujuan daripada semua anggota persekutuan ketenteraan ini.
Sebagai salah sebuah daripada 31 anggota NATO, Turkiye memiliki kuasa veto terhadap setiap permohonan negara baharu yang ingin menyertai perikatan itu.
Turkiye sebelum ini menentang keras usaha Sweden untuk menganggotai NATO atas alasan negara itu melindungi ahli Parti Pekerja Kurdistan, (PKK) yang diharamkan dan pergerakan Gulen.