NEW DELHI: Seorang wanita ditahan selepas menikam suaminya ketika sedang tidur kerana enggan membawanya ke Singapura.
Insiden berlaku pada 6 Januari lalu di bandar Bengaluru, ibu negara Karnataka, selepas timbul perselisihan faham lapor The Times of India.
Pasangan itu berkahwin pada 2002, tetapi suami wanita berusia 56 tahun itu telah bekerja di Singapura sejak 25 tahun lalu.
Beliau melawat isteri dan anak lelakinya yang berusia 20 tahun hanya beberapa kali setiap tahun.
September lalu, isteri dan anak lelakinya datang untuk tinggal bersamanya di Singapura.
Mereka juga mempunyai perancangan untuk tinggal di sana bagi membolehkan anak lelakinya melanjutkan pelajaran di sana.
Pada 5 Januari, tiga beranak itu kembali ke India.
Lelaki itu merancang untuk berlepas ke Singapura pada 19 Januari bersama anaknya dan memaklumkan perkara itu kepada isterinya pada pagi, 6 Januari lalu.
Pertengkaran kemudian tercetus dan lewat petang itu, dia menyerang suaminya dengan pisau ketika sedang tidur.
Dia dilaporkan menggunakan pisau untuk menikam di kepala dan tangan mangsa serta di bahagian belakang tubuhnya.
Menurut mangsa, selain menyerang menggunakan pisau, dia turut mencampurkan serbuk cili dengan air dan menyimbah ke muka mangsa.
Mangsa kemudian menghubungi polis, dan wanita itu ditahan.
Lelaki terbabit menerima 14 jahitan di hospital, dengan seorang pegawai kanan polis memaklumkan, pihaknya mengesyaki dia mengetepikan isterinya dalam perancangan untuk ke Singapura dengan alasan suspek ‘tidak mempunyai pandangan moden’. – AGENSI