comscore
Tumpuan :
Dunia

EKSKLUSIF: ‘Rumah saya dibom, nyawa kami semua dalam bahaya’ – Penduduk Lubnan

Situasi di Lubnan semakin genting selepas serangan udara rejim zionis Israel tidak henti dilancarkan di negara itu.-Foto: Reuters

PETALING JAYA: Situasi di Lubnan semakin genting selepas serangan udara rejim zionis Israel tidak henti dilancarkan di negara itu.

Paling teruk terjejas di sekitar Selatan dan Timur Beirut yang menjadi sasaran bom rejim itu.

Salah seorang rakyat Lubnan yang ingin dikenali sebagai Ahmad, berusia 30-an ini berkongsi ceritanya kepada Buletin TV3.

Setiap hari jelasnya, kawasan kejiranannya itu di Selatan Beirut tidak terlepas dibom oleh rejim zionis.

“Situasi ketika ini perang, perang terhadap orang awam yang tidak berdosa. Ramai terbunuh, ramai lagi mungkin berdepan situasi sama.

“Di sini ada sesetengah tempat sudah terputus rangkaian internet. Saya juga telah hilang semuanya termasuk semua duit saya,” katanya.

Tambah Ahmad, rumahnya tidak terlepas daripada sasaran bom zionis itu.

“Saya tinggal di kawasan yang setiap hari di bom. Ada kalanya bom itu melepasi kawasan kejiranan kami ini. Nyawa kami dalam bahaya,” katanya lagi.

Meskipun lebih setengah juta rakyat di wilayah itu telah melarikan diri, namun bagi Ahmad beliau tetap ingin berada di tempat lahirnya itu walaupun tahu risikonya tinggi.

“Saya tidak berpindah ke negara lain walaupun saya hilang semuanya termasuk rumah saya.

“Saya kecewa, keadaan kami seperti ini tetapi negara Arab lain hanya melihat tetapi tidak bertindak sebaliknya,” ujarnya lagi.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Lubnan mengumumkan serangan rejim zionis itu telah mengorbankan lebih 2,000 orang.

Antara yang terkorban termasuk termasuk 261 wanita dan 127 kanak-kanak.

Terbaharu, rejim zionis telah mengeluarkan amaran kepada 25 buah perkampungan di Selatan Lubnan agar keluar dari kediaman mereka ekoran serangan darat yang dilancarkan rejim itu.

Amaran itu melibatkan kawasan Houla, Meiss el-Jabal dan Bilda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini