comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] EKSKLUSIF JOKOWI: Malaysia & Indonesia mampu jadi pengeluar terbesar sawit dunia

 

JAKARTA: ASEAN tidak akan menjadi proksi China mahupun mana-mana negara besar lain bagi memastikan kestabilan dan kedamaian rantau Asia Tenggara dikekalkan.

Ketetapan itu ditegaskan Presiden Indonesia yang juga Pengerusi ASEAN, Joko Widodo selari dengan prinsip ASEAN yang menghormati undang-undang antarabangsa, dasar kesaksamaan serta saling menghormati.

Beliau turut melihat pentingnya penglibatan Malaysia bagi kedua-dua negara serumpun itu menguasai industri minyak sawit mentah dunia.

Itu antara intipati temu bual Eksklusif TV3 bersama Presiden Jokowi yang diadakan Jakarta, baru-baru ini.

Dalam temu bual eksklusif bersama Fiza Sabjahan di Istana Merdeka ini, Presiden Jokowi menekankan Malaysia dan Indonesia perlu menjadi rakan kongsi dalam menghadapi kumpulan anti minyak sawit Kesatuan Eropah (EU).

Di Indonesia sahaja, 16 juta rakyat negara berkenaan bekerja dalam sektor sawit.

Justeru, jika kerjasama erat digembleng antara kedua-dua negara sahabat itu, Malaysia dan Indonesia mampu menjadi pengeluar terbesar minyak sawit mentah dunia.

“Kalau kita berbarengan dengan Malaysia, akan lebih baik sebagai produsen CPO/minyak sawit yang terbesar. Dan juga penetrasi pasar akan lebih mudah mengendalikan harganya,” kata Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Hubungan istimewa Indonesia dan Malaysia sebagai saudara serumpun juga ujar beliau, bukan sekadar negara jiran kerana kedua-duanya mempunyai ikatan sejarah yang kuat.

Beliau turut menegaskan, tidak mahu timbul sebarang masalah dengan Malaysia sehingga menyebabkan perdagangan menurun dan pelaburan menyusut.

Justeru, dalam soal Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (PMI) di Malaysia, beliau mahu ia terus diperbaiki dan ditingkatkan serta diselaraskan dengan menggunakan hanya  ‘One Channel System’ (OCS).

“Pada saat saya bertemu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kita sudah sepakat one channel system (OCS). Kita sepakat untuk membangun One Channel System. Sehingga nanti mudah untuk menyelesaikan kalau ada persoalan di lapangan. Kalau OCS berjalan, persoalan yang di lapangan yang berkaitan dengan Pekerja Migran Indonesia akan bisa diselesaikan,” katanya.

Dan bermula esok, Indonesia selaku Pengerusi akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang bakal berlangsung di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur.

Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau tidak mahu ASEAN menjadi proksi mana-mana pihak.

Antara isu yang bakal dirundingkan pada sidang kemuncak itu termasuk krisis di Myanmar, keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN, rundingan mengenai tatakelakuan di Laut China Selatan dan pemerdagangan manusia.

Berhubung isu maritim dan pertikaian sempadan membabitkan Amerika Syarikat-China di perairan Laut China Selatan, Presiden Jokowi menegaskan kedudukan ASEAN jelas dalam isu di Laut China Selatan yang mana negara anggota mahu kawasan berkenaan kekal stabil, damai dan sejahtera.

Semua anggota ASEAN ingin itu. Dan kuncinya iaitu kepatuhan kepada hukum internasional. Kepatuhan kepada UNCLOS 1982. Kuncinya di situ. Dan semua klaim yang tidak berdasar seharusnya sudah tidak terjadi. Kuncinya ada di situ. Patuhi hukum internasional. ASEAN akan terus mendorong agar stabilitas perdamaian itu ada di kawasan ini.”katanya.

Temu bual penuh Program Khas Eksklusif bersama Presiden Joko Widodo ini akan disiarkan jam 9 malam esok di TV3.

Loading...
Terkini