Tumpuan :
Dunia

Duta EU harap capai kata sepakat mengenai pakej sekatan ke-15 ke atas Rusia

MOSCOW: Duta-duta Kesatuan Eropah (EU) dijangka berusaha mencapai persetujuan mengenai pakej sekatan ke-15 blok itu terhadap Rusia pada Jumaat, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut akhbar Politico, para diplomat berharap untuk mendapatkan kelulusan akhir bagi pakej itu sebelum akhir tahun 2024.

Laporan media pada November menyatakan bahawa pakej baharu langkah sekatan EU terhadap Rusia berkemungkinan diluluskan menjelang akhir tahun ini. Pakej itu dijangka mengenakan sekatan terhadap lebih 45 kapal tangki minyak Rusia, lebih 50 individu, dan sekitar 30 organisasi.

Pakej sekatan ke-15 itu dilaporkan akan memperkenalkan sekatan terutamanya terhadap pengeluar peralatan ketenteraan Rusia, serta beberapa syarikat China yang didakwa membekalkan komponen bagi pengeluaran dron.

Sekatan juga mungkin dikenakan terhadap syarikat Rusia yang terlibat secara khusus dalam pengangkutan minyak, selain eksekutif dalam sektor ketenteraan dan korporat.

Selain itu, EU berkemungkinan mengenakan sekatan terhadap organisasi dari Serbia, Iran, India, Thailand, dan Emiriah Arab Bersatu yang didakwa membantu Rusia memperoleh teknologi ketenteraan.

Akhir sekali, sekatan boleh dikenakan terhadap pegawai tentera Korea Utara yang didakwa terlibat dalam penghantaran tentera ke Rusia.

Tekanan sekatan Barat terhadap Rusia meningkat selepas operasi ketenteraan khas di Ukraine bermula pada 2022, termasuk penutupan pelabuhan dan ruang udara.

Presiden Rusia, Vladimir Putin, menyifatkan usaha itu sebagai strategi jangka panjang Barat yang memberi tamparan hebat kepada ekonomi global.

–BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini