GAZA : Tindakan Israel memberi kata dua kepada lebih sejuta penduduk di utara Gaza untuk segera berpindah ke bahagian selatan dalam tempoh 24 jam, dikecam pelbagai negara serta pertubuhan di seluruh dunia.
Ribuan penduduk dilapor memulakan perjalanan ke selatan Gaza dengan berjalan dan menaiki kenderaan susulan amaran itu.
Turkiye menyelar tuntutan evakuasi oleh rejim Zionis itu sebagai ‘tidak boleh diterima.’
Menurut kementerian luar Turkiye, tindakan Israel memaksa 2.5 juta penduduk Gaza yang sudah berhari-hari menjadi sasaran serangan udara serta bergelut dengan sekatan bekalan elektrik, air dan makanan untuk berpindah adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan serta tidak berperikemanusiaan.
Liga Arab yang berpangkalan di Kaherah turut mengutuk ‘pemindahan paksa’ yang disifatkan sebagai satu ‘jenayah’.
Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) mendedahkan bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai amaran berkenaan oleh tentera Israel, sejurus sebelum tengah malam kelmarin, membabitkan kira-kira 1.1 juta rakyat palestin di utara Gaza.
Tentera Israel bagaimanapun mengaku proses evakuasi itu akan mengambil masa.