BAKU: Persidangan global meluluskan perjanjian iklim tahunan berjumlah AS$300 bilion (RM1.34 bilion) pada Ahad, membolehkan negara miskin dan yang terdedah untuk menuntut lebih banyak lagi usaha negara kaya dalam menghadapi krisis pemanasan global.
Selepas dua minggu yang melelahkan dengan tawar-menawar, hampir 200 negara akhirnya mempersetujui perjanjian kewangan itu pada awal pagi di stadium sukan di Azerbaijan.
Negara-negara terbabit bergelut untuk mendamaikan segala bentuk pertelingkahan yang sudah sekian lama wujud mengenai kewangan bagi menangani perubahan iklim.
Diplomat yang kurang tidur berkerumun secara berkumpulan dengan penuh rasa cemas, namun masih berupaya menyemak semula frasa terakhir pada peringkat tingkat pleno di stadium berkenaan sebelum perjanjian itu diluluskan.
Pada satu ketika, rundingan itu hampir menemui kegagalan, dengan negara membangun menyerbu keluar dari mesyuarat dan mengancam untuk meninggalkannya jika negara kaya tidak mengeluarkan lebih banyak wang.
Dengan mengulangi bahawa apa sahaja perjanjian adalah lebih baik daripada tiada perjanjian langsung, akhirnya mereka tidak menghalang usaha memeterai perjanjian, biarpun ia tidak memenuhi apa yang mereka inginkan.
Perjanjian terakhir itu mewajibkan negara maju membayar sekurang-kurangnya AS$300 bilion (RM1.34 bilion) setahun menjelang 2035 untuk membantu negara membangun menghijaukan ekonomi mereka dan bersedia menghadapi bencana lebih buruk.
Jumlah itu meningkat daripada AS$100 bilion (RM446 bilion) yang kini disediakan negara kaya di bawah komitmen yang akan berakhir serta komitmen AS$250 bilion (RM1.11 bilion) yang dicadangkan dalam deraf pada Jumaat.
Namun, tawaran itu diselar sebagai masih sangat rendah oleh negara membangun, yang menuntut sekurang-kurangnya AS$500 bilion (RM2.23 trilion) untuk membina daya tahan terhadap perubahan iklim dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Sebilangan negara menuduh Azerbaijan, antara pengeksport minyak dan gas utama, tidak mempunyai pengalaman dan kemahuan untuk memenuhi tanggungjawab, ketika negara itu sekali lagi mencatatkan suhu memecahkan rekod dan menghadapi peningkatan bencana alam yang membawa maut.
Negara kaya dan negara kepulauan kecil juga bimbang dengan usaha dipimpin Arab Saudi untuk mengurangkan kelantangan seruan daripada sidang kemuncak tahun lalu bagi menghentikan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat.
Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mahu ekonomi baru muncul yang kaya raya seperti China untuk turut serta.
Deraf akhir menggalakkan negara membangun membuat sumbangan secara sukarela, mencerminkan tiada perubahan bagi China yang sudah membayar kos kewangan iklim mengikut syaratnya sendiri.
Negara-negara kaya menyatakan adalah tidak munasabah dari segi politik untuk mengharapkan lebih banyak sumbangan dalam pembiayaan langsung kerajaan.
Presiden terpilih AS, Donald Trump, seorang yang ragu-ragu terhadap perubahan iklim dan bantuan asing, kembali ke Rumah Putih pada Januari sementara beberapa negara Barat lain sudah melihat reaksi sayap kanan terhadap agenda hijau.
Perjanjian itu meletakkan sasaran keseluruhan yang lebih besar sebanyak AS$1.3 trilion (RM5.8 trilion) setahun untuk menghadapi peningkatan suhu dan bencana, bagaimanapun kebanyakannya datang daripada sumber persendirian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.