YANGON: Dua maut manakala lebih 30 hilang dalam kejadian tanah runtuh di sebuah lombong jed di Negeri Kachin, utara Myanmar pada Ahad, kata polis tempatan pada Isnin.
Tanah runtuh itu berlaku kira-kira 3 petang waktu tempatan Ahad di sebuah lombong jed berhampiran Kampung Ma Na di perbandaran Hpakant di Negeri Kachin, kata seorang pegawai polis perbandaran Hpakant kepada Xinhua.
“Dua mayat telah ditemui manakala selebihnya masih hilang. Terdapat kira-kira lapan orang cedera,” kata pegawai polis itu.
Seorang anggota penyelamat perbandaran Hpakant, Ko Thein Than Htike memberitahu Xinhua bahawa adalah sukar untuk menentukan jumlah sebenar individu yang tertimbus kerana kesemuanya adalah pekerja asing.
Tanah runtuh kerap berlaku di negeri Kachin, terutamanya di kawasan perlombongan Hpakant.
Kejadian tanah runtuh terburuk berlaku di tapak perlombongan jed di perbandaran Hpakant pada Julai 2020, menyebabkan 174 maut dan 54 yang lain cedera. – BERNAMA-XINHUA