Tumpuan :
Dunia

Dua bandar AS dikaitkan isu pendatang terima 33 ancaman bom

FOTO: Reuters

WASHINGTON: Daerah Springfield di Amerika Syarikat (AS) menerima 33 ancaman bom ekoran dikaitkan teori konspirasi oleh calon Presiden AS Republikan, Donald Trump, ketika debat mengenai isu imigresen.

Gabenor Ohio, Mike DeWine berkata, pihaknya menerima sekurang-kurangnya 33 ancaman bom berasingan sejak Trump membuat kenyataan haiwan peliharaan penduduk setempat mungkin ‘dimakan’ pelarian Haiti yang membanjiri bandar itu.

Beliau membuat kenyataan itu ketika sesi debat bersama calon Presiden AS Demokrat merangkap Naib Presiden AS, Kamala Harris, pada 10 September lalu.

Bagaimanapun, menurut DeWine, semuanya adalah palsu, sambil mengakui sebahagian daripada mereka memang datang dari negara asing, namun tiada yang begitu terdesak sehingga terpaksa makan haiwan peliharaan.

Khabar angin bersifat perkauman itu dibawa parti Republikan, terutama Trump, terhadap komuniti pendatang Haiti di bandar itu, mendakwa mereka mencuri dan memakan haiwan peliharaan penduduk setempat selain menyebabkan gelombang jenayah.

Sejak Trump membuat kenyataan berkenaan minggu lalu, ancaman bom, tembakan atau keganasan lain semakin memuncak hingga memaksa dua sekolah ditutup.

Beberapa warga Haiti yang tinggal di bandar itu turut menyatakan kebimbangan mengenai ancaman terhadap nyawa mereka.

Datuk Bandar juga menerima ugutan bunuh.

Media tempatan melaporkan, ancaman itu termasuk kenyataan menghina mengenai penduduk Haiti di Springfield.

Dalam pada itu, DeWine turut mengumumkan bahawa 36 anggota tentera dari Peronda Lebuhraya negeri akan ditempatkan di seluruh bandar untuk menyediakan keselamatan tambahan.

Bandar yang majoriti penduduknya berkulit putih di tengah barat AS itu menyaksikan ledakan populasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kemasukan pendatang Haiti yang tertarik dengan kebangkitan ekonomi, perniagaan baharu dan peluang kerja.

Terdapat sekitar 15,000 pendatang Haiti kini menetap di bandar terbabit, yang hanya mempunyai kurang 60,000 penduduk pada 2020, di mana isu perkauman semakin memuncak susulan kempen sengit pemilihan Presiden AS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini