comscore
Tumpuan :
Dunia

Doktor di Gaza bedah pesakit guna cahaya telefon bimbit

Tangkap layar daripada video menunjukkan doktor di Gaza merawat pesakit dengan menggunakan cahaya pada telefon bimbit.

GAZA: Di tengah-tengah serangan udara berterusan oleh rejim Zionis, doktor di hospital Gaza terpaksa bekerja dalam keadaan gelap dan melakukan pembedahan menggunakan cahaya telefon bimbit.

Malah, mereka juga merawat luka dengan cuka akibat kehabisan bekalan perubatan, lapor portal The Mirror.

Hospital turut perlu mencatu bekalan perubatan yang semakin berkurangan dan bahan api untuk menggunakan generator.

Pengarah Kecemasan Hospital Nasser di Khan Younis Dr Mohammad Qandeel berkata, keadaan yang serba kekurangan dari segi katil di unit rawatan rapi (ICU), bekalan bahan api dan kakitangan menyukarkan lagi kerja menyelamat.

“Keadaan ini membuatkan kita tidak dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa. Doktor bekerja dalam keadaan sangat sukar dan terpaksa menjalankan pembedahan di bawah apa jua cahaya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima 80 pesakit yang parah akibat serangan bom Israel di Gaza, sejak Rabu minggu lalu.

“Sejak awal pagi Rabu, kami menerima 80 pesakit yang parah. Kami menerima 12 mayat selepas serangan udara, manakala dua mangsa meninggal dunia kerana kami tidak mempunyai mesin ventilator untuk mereka.

“Mereka tiba di hospital masih bernyawa tapi akhirnya meninggal dunia. Sebelumnya, kami membuat panggilan bagi mendapatkan bantuan kerana kehabisan minyak bagi kegunaan generator.

“Jika situasi ini terus berlaku, bermakna lebih ramai kanak-kanak dan wanita akan mati tanpa sebarang bantuan perubatan,” katanya.

Terdahulu, sebuah video menunjukkan seorang pakar bedah menjahit lengan pesakit di dalam wad yang gelap dan menggunakan cahaya dari telefon bimbit yang dipegang individu lain.

Sementara itu, konvoi bantuan kemanusiaan mula memasuki Gaza menerusi pintu sempadan Rafah, semalam membawa ubat-ubatan, peralatan hospital dan sedikit makanan.

Pejabat media Hamas menyatakan 20 trak memasuki Gaza, kira-kira jam 10 pagi.

Kedutaan Amerika Syarikat di Israel menyatakan pintu itu juga dibuka untuk membolehkan warga asing meninggalkan kawasan Palestin yang terkepung.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini