DHAKA: Dhaka membincangkan kaedah dan objektif Persidangan Antarabangsa mengenai Krisis Rohingya yang bakal dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2025, berdasarkan resolusi konsensus Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang diterima pakai tahun ini, menurut agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS).
Perbincangan itu diadakan dalam satu mesyuarat antara Wakil Peringkat Tinggi kepada Ketua Penasihat mengenai Krisis Rohingya dan Isu Keutamaan Dr Khalilur Rahman bersama-sama Presiden UNGA, Duta Philemon Yang, di New York pada Isnin.
Inisiatif untuk persidangan dicadangkan oleh Ketua Penasihat Bangladesh Prof Muhammad Yunus, semasa ucapannya di Perhimpunan Agung PBB pada September 2024.
Objektif utama persidangan adalah untuk mencapai penyelesaian yang mampan dan aman terhadap krisis Rohingya.
Dr Rahman menegaskan komitmen Bangladesh untuk memberikan sokongan penuh kepada PBB dalam penganjuran persidangan itu.
Beliau memaklumkan kepada Yang mengenai minat yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti antarabangsa terhadap persidangan berkenaan dan hasil yang berpotensi dicapai.
Dr Rahman turut memberikan taklimat kepada Presiden UNGA mengenai perkembangan politik terkini di rantau itu, menekankan usaha proaktif Bangladesh untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam mencapai penghantaran pulang secara mampan bagi etnik Rohingya yang terpaksa berhijrah.
Perbincangan itu menekankan keperluan mendesak untuk memulakan penghantaran pulang awal bagi etnik Rohingya, dengan menekankan kepentingannya yang kritikal terhadap keamanan dan kestabilan serantau.
Selain itu, kedua-dua pihak mengambil kira keperluan untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada Rakhine, terutama dengan mengambil kira perkembangan terkini di rantau itu.
Yang turut memuji peranan aktif Bangladesh dalam menangani isu-isu global yang kritikal di bawah kerangka kerja PBB.
Sebagai penganjur Persidangan Antarabangsa itu, beliau berjanji memberikan sokongan penuh bagi memastikan penyertaan maksimum dan hasil yang pragmatik ke arah penyelesaian krisis.
Beliau juga menyatakan penghargaan kepada Dr Rahman kerana penglibatan proaktifnya dan mengulangi kesediaannya untuk bekerjasama rapat dalam penganjuran persidangan ini.
Penganjuran persidangan antarabangsa berprofil tinggi ini merupakan langkah penting dalam usaha global untuk menangani krisis Rohingya dan mencerminkan komitmen bersama Bangladesh dan PBB bagi mencapai penyelesaian yang damai dan mampan. – BERNAMA-BSS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.