COLOGNE: Buat pertama kali dalam sejarah, azan telah berkumandang di salah satu masjid terbesar di Cologne, Jerman semalam.
Jika sebelum ini, azan hanya kedengaran di dalam bangunan sahaja.
Dan akhirnya, kebenaran melaungkan azan ini dibenarkan, selepas pihak berkuasa bandar di Cologne memberi kebenaran untuk projek perintis, di bawah had yang ketat.
Tahun lalu, pihak berkuasa tempatan bandar keempat terbesar Jerman, Cologne membenarkan masjid memohon kebenaran melaungkan azan selama lima minit, antara waktu tengah hari dan jam 3 petang, setiap Jumaat dengan tahap bunyi tidak melebihi 60 desibel.
Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Turki-Islam untuk Hal Ehwal Agama (Ditib), Abdurrahman Atasoy, perjanjian untuk percubaan dua tahun itu dibuat dengan pihak berkuasa tempatan bandar raya itu pada Rabu lalu.
Sementara itu, Datuk Bandar Cologne, Henriette Reker berkata, membenarkan azan adalah sebagai ‘tanda penghormatan’ kepada orang Islam yang mendiami bandar itu.
Cologne, yang terkenal dengan Katedral Dom, merekodkan lebih 100 ribu penduduk Islam yang menyumbang enam peratus daripada jumlah populasi negara tersebut.