GENEVA: Demam denggi bakal menjadi ancaman besar di selatan Amerika Syarikat, selatan Eropah dan beberapa bahagian di Afrika dalam dekad ini.
Perkara itu dinyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua saintisnya memaklumkan, suhu lebih panas secara tidak langsung menyediakan keadaan yang sesuai untuk pembiakan nyamuk dan menyebarkan penyakit berjangkit.
Denggi telah lama membelenggu Asia dan Amerika Latin, menyebabkan sekurang-kurangnya 20,000 kematian setiap tahun.
Kadar penyakit itu juga meningkat lapan tahun berturut-turut sejak 2000, dipercayai diakibatkan oleh perubahan iklim dan pertambahan populasi.
Selain itu, banyak kes tidak direkodkan, namun pada 2022, sebanyak 4.2 juta kes dilaporkan di seluruh dunia.
Dalam hal ini, pakar penyakit WHO, Jeremy Farrar bekata, pelbagai pihak perlu berbincang lebih lanjut mengenai denggi dan ancamannya pada dekad ini.
Tambah beliau, WHO sendiri perlu membantu negara-negara dunia yang mudah dijangkiti untuk bersedia dengan situasi terburuk dengan wabak denggi.