GAZA: Kumpulan Pejuang Palestin, Hamas memaklumkan delegasi kanan diketuai Mohamed Darwish, Ketua Majlis Syura kumpulan itu telah tiba di Mesir bagi lawatan rasmi membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata Gaza dan pertukaran tahanan dengan Israel.
Menurut Hamas, delegasi itu dijadual bertemu pegawai Mesir untuk meneliti perkembangan terkini pelaksanaan perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tahanan tiga fasa.
Perjanjian gencatan senjata, yang berkuat kuasa pada 19 Januari, termasuk perjanjian untuk menukar tawanan Israel yang ditahan di Gaza dengan tahanan Palestin di penjara Israel.
Di bawah fasa pertama perjanjian yang berlangsung selama 42 hari, Hamas membebaskan 33 tawanan Israel, manakala Israel membebaskan antara 1,700 hingga 2,000 tahanan Palestin secara berperingkat.
Rundingan bagi dua fasa berikutnya bermula pada hari ke-16 gencatan senjata.
Pertukaran awal yang dilaksanakan pada hari pertama perjanjian menyaksikan pembebasan tiga wanita Israel sebagai tawanan dengan 90 tahanan Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita, kebanyakannya dari Tebing Barat dan Baitulmuqaddis yang diduduki .
Hamas menyatakan delegasi itu turut akan bertemu tahanan Palestin yang dibebaskan pada Sabtu.
Menurut kumpulan itu, delegasi Hamas berkenaan termasuk ahli kanan majlis kepimpinan dan pasukan perundingnya: Khaled Meshaal, Khalil al-Hayya, Zaher Jabarin, Nizar Awadallah, Mohammed Nasser dan Ghazi Hamad.
Perjanjian gencatan senjata Gaza berkuat kuasa pada 19 Januari, menghentikan sementara serangan genosid Israel yang telah meragut lebih 47,300 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,400 sejak 7 Oktober 2023.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.