MELBOURNE: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Australia maut selepas dipercayai mencuba trend popular media sosial dikenali sebagai ‘chroming’.
The Straits Times melaporkan, Esra Haynes mencuba trend itu dengan menghidu bahan seperti cat logam, pelarut, petrol dan bahan kimia daripada tin aerosol.
Insiden difahamkan berlaku pada 31 Mac lalu dengan Esra bertindak menghidu cecair deodoran.
Berikutan itu, Esra mengalami serangan jantung dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan selama lapan hari.
Menurut doktor, otak remaja terbabit rosak dan tidak dapat dirawat.
Bagaimanapun, keluarga remaja itu ambil keputusan untuk mematikan mesin pernafasannya.
Kematian dalam mencuba trend ini bukan kali pertama berlaku melibatkan remaja di Australia.
Sejak 2019, dua remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas cuba melakukan trend sama.
Seorang lagi remaja perempuan mengalami kerosakan otak.
Selepas kematian Esra, Jabatan Pendidikan Victoria meningkatkan usahanya mendedahkan kanak-kanak dengan trend itu serta kesan sampingannya.
Ibu bapa mangsa juga dalam misi untuk meningkatkan kesedaran mengenai trend berbahaya itu.