BEIJING: Chatbot kecerdasan buatan (AI) dari firma China, DeepSeek dilihat melonjak ke puncak carta muat turun di Apple Store, sekaligus mengejutkan pemerhati industri dan penganalisis dengan kemampuannya yang setara dengan pesaing Amerika Syarikat (AS).
Program ini menggegarkan industri teknologi dan memberi kesan kepada gergasi AS seperti Nvidia, syarikat cip AI yang menyaksikan hampir AS$600 bilion (RM2.63 trilion) nilai pasaran mereka hilang, jumlah terbesar dalam satu hari di Wall Street.
DeepSeek dibangunkan oleh syarikat permulaan yang berpangkalan di bandar Hangzhou, China, yang terkenal dengan kepadatan tinggi firma teknologinya.
Tersedia sebagai aplikasi atau di desktop, DeepSeek mampu melakukan banyak perkara yang boleh dilakukan oleh pesaingnya seperti menulis lirik lagu, membantu merangka pelan pembangunan diri, malah menulis resipi berdasar bahan yang ada dalam peti sejuk.
Seperti chatbot China yang lain seperti Ernie Bot dari Baidu, DeepSeek juga tertakluk kepada banyak batasan – bertanya mengenai pemimpin China Xi Jinping atau dasar Beijing di wilayah barat Xinjiang, ia memohon untuk “bercakap tentang perkara lain”.
Lebih mengejutkan bagaimana ia dibuat di mana firma itu berkata, model itu dilatih menggunakan hanya sebahagian kecil daripada cip yang digunakan oleh pesaing Baratnya.
Penyelidik DeepSeek berkata mereka membelanjakan hanya AS$5.6 juta (RM24.62 juta) untuk membangunkan versi terbaru model mereka iaitu jumlah yang sangat kecil berbanding dengan berbilion dolar yang dibelanjakan oleh gergasi teknologi AS dalam bidang AI.
Saham dalam firma teknologi utama di AS dan Jepun jatuh apabila industri mengambil kira cabaran daripada DeepSeek.
Kejayaan DeepSeek menunjukkan bahawa firma China mungkin mula melompati halangan yang diletakkan di jalan mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.