Tumpuan :
Dunia

Dedah isu rasuah dan pemerdagangan manusia, wartawan Kemboja ditahan pihak berkuasa

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menyampaikan anugerah wira kepada Mech Dara susulan kejayaannya mendedahkan pusat penipuan dalam talian di Kemboja, tahun lalu. – Foto: Reuters

PHNOM PENH: Pihak berkuasa Kemboja mengesahkan penangkapan seorang wartawan kanan yang menyiasat isu rasuah, pemerdagangan manusia dan pusat penipuan dalam talian.

Jurucakap polis tentera, Eng Hy berkata wartawan berkenaan, Mech Dara ditahan pada Isnin tanpa memperincikan tuduhan yang dihadapi.

“Kami telah melaksanakan waran mahkamah untuk membawanya ke mahkamah. Saya tidak tahu tentang keadaannya,” katanya.”

Tindakan pihak berkuasa tempatan itu mendapat tentangan dan kritikan kumpulan hak asasi manusia, Licadho.

Pengarahnya, Naly Pilorge berkata Dara memaklumkan kepada mereka bahawa dia ditahan selepas dihentikan di tol lebuh raya di sempadan Koh Kong dan Sihanouk di barat daya negara itu.

“Dara mesti dibebaskan agar dia dapat meneruskan kerjanya dalam mendedahkan isu-isu seperti pemerdagangan manusia, buruh paksa dan rasuah.

“Penangkapan salah seorang wartawan paling berani di Cambodia akan memberi kesan yang besar terhadap akses maklumat untuk semua rakyat Kemboja,” tambahnya.

Tahun lalu Dara menerima pengiktirafan daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, di atas sumbangannya mendedahkan kewujudan pusat penipuan besar yang dikendalikan oleh pekerja yang diperdagang di Kemboja.

Sementara itu, Kementerian Luar AS mengesahkan bahawa mereka menyedari laporan mengenai penangkapan Dara dan melahirkan rasa kebimbangan terhadap penangkapan Dara.

Menurut Licadho, penangkapan wartawan kanan itu mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan bersuara dalam kalangan pengamal media, khususnya di Asia Tenggara susulan AS menganggap rantau itu muncul sebagai pusat industri jenayah bernilai berbilion dolar yang menyasarkan mangsa di seluruh dunia dengan skim penipuan kripto. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini