comscore
Tumpuan :
Dunia

Debat perdana calon presiden ketengah isu utama di Indonesia

FOTO: Reuters

JAKARTA: Debat siri pertama menjelang pemilihan presiden Indonesia, menyaksikan tiga calon yang bertanding membahaskan beberapa topik penting, termasuk mengenai Nusantara.

Bertemakan ‘Tadbir Urus, Undang-undang, Hak Asasi Manusia, Membasmi Rasuah, Memperkukuh Demokrasi, Meningkatkan Perkhidmatan Awam dan Keharmonian Komuniti’, debat itu disiarkan di siaran televisyen tempatan pada Rabu.

Anies Baswedan, Prabowo Subianto dan Ganjar Pranowo turut mengulas mengenai dakwaan campur tangan dalam Mahkamah Perlembagaan dan memerangi rasuah.

Mereka menyampaikan visi masing-masing dengan bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan bertekad mentransformasikan penguatkuasaan undang-undang demi keadilan semua pihak.

Prabowo yang mendahului dalam tinjauan pendapat terkini, komited untuk memperbaiki kelemahan, menegakkan keadilan dan meningkatkan usaha dalam memerangi rasuah.

Ganjar pula mahu menambah baik kemudahan awam termasuk di bidang kesihatan dan pendidikan dengan menekankan nilai-nilai murni serta kesederhanaan beragama.

Dalam sesi soal jawab, bekas gabenor Jawa Tengah Ganjar mengajukan soalan kepada Anies berhubung pendirian mengenai pemindahan ibu kota negara dari Jakarta ke Kalimantan.

Anies, tidak menjawab langsung, namun menekankan keperluan menyelesaikan masalah di Jakarta serta menekankan pentingnya proses dialog awam yang menyeluruh bagi pelaksanaan projek.

Isu kekurangan baja bersubsidi di Jawa Tengah dibangkitkan Prabowo mendorong Ganjar menjelaskan isu itu juga berlaku di wilayah lain dan data petani yang lengkap perlu untuk menyelesaikannya.

Debat menjadi hangat apabila Prabowo menjadi sasaran Anies dan Ganjar mengenai keputusan Mahkamah Perlembagaan berhubung had umur calon presiden dan naib presiden bulan lepas.

Keputusan itu telah membuka jalan kepada anak Presiden Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka, 36, yang juga Datuk Bandar Solo di Jawa Tengah, menjadi naib presiden Prabowo.

Prabowo yang juga Menteri Pertahanan, mempertahankan keputusan mahkamah kerana dari sudut undang-undang keputusan itu tidak ada masalah dan ia kekal muktamad.

Mengenai rasuah, Anies menekankan mengenai undang-undang rampasan aset, menyemak semula undang-undang, ganjaran kepada pelapor dan mempromosikan standard etika di agensi antirasuah KPK.

Prabowo mahu mengukuhkan institusi undang-undang dan badan pengawasan manakala Ganjar memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang serta menggesa pemimpin hidup sederhana. – BERNAMA

Loading...
Terkini