comscore
Tumpuan :
Dunia

Debat mengakhiri pendudukan haram Israel di Palestin dibawa ke UNGA

Foto fail Reuters

NEW YORK: Negara anggota Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) akan membahaskan mengenai desakan rakyat Palestin menuntut secara rasmi Israel menamatkan pendudukan haram di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan.

Bagaimanapun, teks perbahasan itu mendapat kritikan hebat Israel memandangkan ia berdasarkan pendapat nasihat dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menggelar pendudukan Israel sejak 1967 sebagai ‘tidak sah’.

Pada teks itu juga tertulis bahawa Israel berada di bawah kewajipan untuk menamatkan pencerobohannya yang menyalahi undang-undang di wilayah Palestin yang diduduki secepat mungkin.

Sebagai tindak balas, negara-negara Arab memanggil sesi khas perhimpunan hanya beberapa hari sebelum berpuluh-puluh ketua negara dan kerajaan turun ke ibu pejabat PBB bulan ini untuk permulaan sesi Perhimpunan Agung PBB (UNGA).

Menurut Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, tindakan itu hanyalah untuk menggunakan tekanan masyarakat antarabangsa dalam UNGA dan tekanan pemerintahan ICJ bagi memaksa Israel mengubah tingkah laku,” katanya yang mengakui deraf resolusi itu ‘mengejutkan banyak negara’.

“Saya berharap kita akan mempunyai jumlah undian yang baik,” katanya sambil menggariskan begitu banyak simpati dan solidariti kepada rakyat Palestin.

Deraf resolusi itu, yang akan diundi pada hari ini atau Rabu, menuntut supaya Israel menamatkan tanpa berlengah kehadirannya yang menyalahi undang-undang di wilayah Palestin yang diduduki, selewat-lewatnya 12 bulan dari tarikh resolusi diterima.

Deraf resolusi itu juga menuntut pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin, menghentikan penempatan baru, pemulangan tanah dan harta benda yang dirampas serta kemungkinan membenarkan penduduk Palestin yang dipindahkan kembali.

Bagaimanapun, perenggan yang menggesa negara anggota untuk menghentikan eksport senjata ke Israel hilang daripada deraf teks semasa rundingan.

Walaupun Majlis Keselamatan PBB (UNSC) gagal membantu berhubung krisis di Gaza, Amerika Syarikat (AS) berulang kali mengecam sekutunya Israel.

Pada Mei lalu, perhimpunan itu menyokong resolusi simbolik mengenai keanggotaan penuh Palestin dalam PBB, memperoleh 143 undi menyokong, sembilan menentang dengan 25 berkecuali.

Walaupun resolusi UNGA tidak mengikat, Israel tetap mengecam teks baharu itu sebagai ‘memalukan’.

Serangan Israel sudah membunuh sekurang-kurangnya 41,226 orang di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah kendalian Hamas, yang tidak memberikan pecahan kematian orang awam dan pejuang.

Pejabat hak asasi PBB mengatakan kebanyakan yang mati adalah wanita dan kanak-kanak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini