
MARRAKESH: Raja Maghribi, Raja Mohammed VI berkenan mendermakan darah baginda buat pesakit berikutan gempa bumi Al-Haouz berukuran 7 magnitud yang melanda negara itu Jumaat lalu.
Baginda berkenan menjalankan proses derma darah ketika melawat mangsa gempa bumi yang cedera di Hospital Universiti Mohammed VI di Marrakesh.

Ia menjadi satu isyarat yang menyatakan solidariti penuh dan belas kasihan baginda kepada rakyat yang ditimpa kesusahan dan musibah.
Menurut teks yang dikongsi oleh kedutaan Maghribi melalui aplikasi WhatsApp di Kuala Lumpur, baginda yang amat terkesan turut bertanyakan keadaan mangsa yang cedera dalam lawatan itu.
Inisiatif diraja ini memberikan sokongan moral yang besar kepada mangsa tercedera dan keluarga, yang memperkuat pelbagai inisiatif dan langkah-langkah yang diambil, selaras dengan Arahan Diraja Tinggi untuk menyelamatkan, membantu, dan menyokong mereka yang terjejas akibat gempa bumi.

Kira-kira 2,171 mangsa dimasukkan ke hospital di wilayah Marrakesh-Safi, termasuk 484 cedera parah, manakala 1,570 lagi cedera ringan. Sebanyak 248 daripada mereka masih dirawat di hospital.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Dalam Negeri Maghribi berkata, angka kematian akibat gempa bumi yang menggegarkan negara Afrika Utara itu pada lewat Jumaat telah meningkat kepada 2,854 orang.
Menurut Institut Geofizik Kebangsaan negara itu, bencana berkenaan adalah gempa bumi paling kuat melanda Maghribi.