SYDNEY: Australia mengeluarkan notis undang-undang terhadap Twitter, menuntut penjelasan mengenai aktiviti dilakukan gergasi media sosial itu untuk mencegah tahap penyalahgunaan dalam talian.
Agensi Anadolu melaporkan, Pesuruhjaya eSafety Australia,Julie Inman Grant, dalam satu kenyataan berkata kajian yang dijalankan oleh institusinya mendapati “hampir satu daripada lima warga Australia mengalami beberapa bentuk kebencian dalam talian.”
Menurutnya, tahap penderaan dalam talian ini tidak dapat dimaafkan.
Grant turut menggesa Twitter menjelaskan berapa banyak akaun yang sebelum ini diharamkan ekoran berbaur kebencian.
Ujar Grant, kebencian telah menjadi senjata selama berabad-abad dengan memberi kesan buruk, menyerang orang berdasarkan kaum, kepercayaan atau identity dan yang terbaharu adalah penyebaran saluran dalam talian iaitu membolehkan kebencian menjadi tular.
Grant berkata Twitter hari ini gagal menghadapi realiti gelap bahawa platform itu semakin digunakan sebagai alat untuk menyebar kebencian.
Susulan itu, Twitter diberi tempoh 28 hari untuk memberi penjelasan atau bakal berdepan denda.