comscore
Tumpuan :
Dunia

Cucu ditinggal 9 jam dalam kereta, maut akibat strok haba

Foto hiasan

TOKYO: Seorang budak lelaki berusia dua tahun di bandar Tsuyama, meninggal dunia selepas ditinggalkan neneknya di dalam kereta selama sekurang-kurangnya sembilan jam, dalam keadaan cuaca panas di Jepun.

Menurut laporan media tempatan, nenek budak berkenaan, Setsuko shibata, 53, terlupa cucunya berada di dalam kereta.

Berikutan kejadian itu, Shibata ditahan kerana disyaki melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Artikel berkaitan: Datuk, cucu maut dipercayai lemas dalam kolam

Polis wilayah Okayama berkata, pembantu penjagaan warga emas itu, mengaku meninggalkan Haruto Mese di dalam kereta, pada Sabtu, ketika dia pergi bekerja.

Asahi Shimbun pada Ahad melaporkan budak lelaki itu ditinggalkan di dalam kereta antara jam 8.15 pagi dan 5.40 petang.

Memetik ulasan polis, The Yomiuri Shimbun pula melaporkan nenek mangsa memberitahu dia terlupa untuk menghantar cucunya di pusat jagaan.

Kereta itu diletakkan di hospital tempat Shibata bekerja, tambahnya.

The Yomiuri Shimbun memetik Agensi Meteorologi Jepun melaporkan, suhu di bandar itu pada hari kejadian mencecah 31.7 darjah Celsius.

Pada hari itu, Shibata dilaporkan sepatutnya membawa cucunya ke pusat jagaan selepas mengambil Mese di rumah anak perempuannya yang tinggal di kawasan kejiranan sama.

Bagaimanapun, selepas Shibata menjemput Mese dari rumah anak perempuannya, dia sebaliknya terus pergi ke tempat kerja di hospital, lapor media tempatan.

Shibata menyedari budak lelaki itu ditinggalkan di tempat duduk belakang keretanya hanya selepas dia menamatkan kerja.

Mese tidak memberikan sebarang reaksi apabila Shibata menemuinya di dalam kereta itu.

Budak itu ditemui bersandar di kerusi kanak-kanak dengan tali pinggang keledar, lapor The Yomiuri Shimbun.

Shibata menghubungi rakan sekerja untuk meminta bantuan kecemasan, bagaimanapun Mese kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Polis percaya budak lelaki itu mengalami strok haba kerana dia tidak mengalami kecederaan luaran, lapor The Yomiuri Shimbun.

Terdahulu, Agensi Meteorologi Jepun berkata, September mencatatkan musim panas paling panas dalam sejarah negara itu sejak penyimpanan rekod bermula pada 1898.

Loading...
Terkini