SEOUL: Pasukan penyiasat Korea Selatan sekali lagi gagal menahan bekas Presiden Yoon Suk Yeol, yang digantung tugas, atas dakwaan cubaan rampasan kuasa melalui pengisytiharan darurat yang gagal.
Cubaan itu dihalang oleh pasukan pengawalnya, mencetuskan pertembungan fizikal di lokasi.
Langkah berkenaan susulan rampasan kuasa pada 3 Disember lalu, apabila Suk Yeol mengarahkan tentera menyerbu parlimen bagi menghalang undian yang menggantung tugasnya.
Situasi itu membawa Korea Selatan ke krisis politik terburuk dalam beberapa dekad.
“Pelaksanaan waran penahanan presiden sudah bermula,” kata Pemangku Presiden Choi Sang-mok, yang turut memberi amaran bahawa pihak yang mencetuskan kekacauan akan dikenakan tindakan tegas.
Cubaan penahanan menyaksikan pasukan gabungan penyiasat dan polis bertempur dengan individu tidak dikenali di kediaman Suk Yeol. Pertembungan fizikal melibatkan tolak-menolak dan sekurang-kurangnya seorang cedera, menurut saksi di lokasi.
Sementara itu, peguam Suk Yeol membantah pelaksanaan waran itu, manakala sebuah van polis yang cuba memasuki kawasan kediaman juga dihalang.
Cubaan pertama pada 3 Januari lalu turut gagal selepas kebuntuan selama beberapa jam dengan pasukan keselamatan presiden yang enggan berundur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.