AMERIKA SYARIKAT: Sekurang-kurangnya enam maut apabila pesawat ringan yang dinaiki terhempas di sebuah padang di Murrieta, California.
Pihak berkuasa bersama-sama pegawai penerbangan kini sedang menyiasat insiden awal pagi itu yang terjadi berhampiran Lapangan Terbang French Valley.
Pesawat model Cessna 550 itu berlepas dari Las Vegas terhempas tidak jauh dari lokasi ia sepatutnya mendarat sekitar jam 4.15 pagi waktu tempatan.
Siasatan awal mendapati, ia terlibat nahas sewaktu cuba mendarat buat kali kedua.
Pihak polis memaklumkan pesawat itu terbakar 100% sekaligus meragut nyawa kesemua penumpang dan anak kapalnya.
Kebakaran itu turut memusnahkan seekar ladang sayur dan ia kemudian berjaya dipadamkan jam 5.35 pagi.
Buat masa tiada mangsa yang dapat dikenal pasti terlibat dalam nahas itu.
Lima penyiasat telah dikejarkan ke lokasi bagi menyiasat punca sebenar nahas namun masih terlalu awal untuk merumuskan bagaimana insiden tercetus.
Kejadian sedemikian adalah yang kedua berlaku di ruang udara berkenaan dalam tempoh seminggu ini.
Selasa lalu, pesawat satu enjin Cessna 172 terhempas tidak lama sebaik berlepas dari French Valley sekaligus meragut nyawa juruterbangnya yang berusia 39 tahun selain turut mencederakan tiga anak kecilnya yang berada di dalam pesawat malang itu.