comscore
Tumpuan :
Dunia

Cubaan bunuh Trump, pemimpin AS nyatakan kegusaran

Agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa di kelab golf milik Trump di West Palm Beach, Florida, pada Ahad.

WASHINGTON: Beberapa pemimpin Amerika Syarikat memberi reaksi di media sosial susulan cubaan bunuh calon Presiden dari parti Republikan, Donald Trump di Florida.

Naib Presiden yang juga calon Presiden dari Parti Demokrat, Kamala Harris dalam ciapannya di X menekankan keganasan tidak mempunyai tempat di AS.

“Saya telah diberi taklimat mengenai laporan tembakan berhampiran kediaman bekas Presiden Trump di Florida dan saya bersyukur beliau selamat. Keganasan tidak mempunyai tempat di Amerika,” katanya.

Trump sekali lagi terselamat dalam cubaan untuk membunuhnya buat kali kedua ketika beliau sedang bermain golf di Florida.

Taikun dan jutawan hartanah itu dibawa ke tempat selamat ketika ejen Perkhidmatan Rahsia melepaskan tembakan ke arah lelaki bersenjata yang mengacukan raifal AK-47 di kawasan belukar berhampiran.

Dalam pada itu, Gabenor Minnesota, Tim Walz, calon Naib Presiden dari Parti Demokrat, juga menyuarakan rasa lega atas keselamatan Trump.

“Saya gembira mendengar Donald Trump selamat. Keganasan tidak mempunyai tempat di negara kita. Ini bukanlah siapa kita sebagai sebuah bangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Rumah Putih juga mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Presiden Joe Biden telah diberi taklimat mengenai insiden keselamatan yang berlaku.

Terdahulu, Trump dilapor berdepan situasi cubaan bunuh kedua ke atas dirinya, dua bulan selepas beliau terselamat dalam insiden tembakan ketika berkempen di Pennsylvania.

Cubaan bunuh terbaharu ke atas Trump kali ini berlaku di kelab golf miliknya, Trump International Golf Club di West Palm Beach, Florida, pada Ahad.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini