COPENHAGEN: Eropah mesti bersedia menghadapi cuaca aneh berkaitan iklim pada musim panas ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Agensi Alam Sekitar (EEA) EU.
Perubahan iklim menyebabkan cuaca di Eropah menjadi lebih ekstrem, menurut agensi yang berpangkalan di Copenhagen itu pada Rabu, semasa pelancaran portal yang melihat dengan lebih dekat gelombang haba, kemarau, banjir, kebakaran hutan dan fenomena lain sebelum ini.
Tinjauan keseluruhan adalah negatif dan penyesuaian kepada perubahan iklim adalah penting, tegas pakar EEA.
Menerusi gambaran keseluruhan dalam talian bertajuk “Cuaca musim panas melampau dalam iklim yang berubah-ubah: Adakah Eropah bersedia?”, EEA akan menerangkan dengan lebih terperinci bagaimana cuaca ekstrem semakin menjejaskan populasi, ekonomi dan alam semula jadi di Eropah.
Laman sesawang itu menjelaskan fenomena cuaca melampau pada musim panas yang lalu, perkara yang boleh dijangka pada masa hadapan mengikut ramalan saintifik dan sejauh mana rantau ini bersedia untuknya.
Ia bermatlamat untuk menyediakan pembuat keputusan dan orang ramai dengan maklumat serta data terkini tentang keperluan mendesak memerangi krisis iklim. – BERNAMA-dpa