WASHINGTON: Agensi Perisikan Pusat (CIA) menularkan kenyataan rasmi mengenai asal usul COVID-19, dengan menyatakan virus itu ‘lebih berkemungkinan’ bocor dari makmal di China berbanding disebar oleh haiwan.
Penilaian terbaharu ini didedahkan selepas John Ratcliffe disah sebagai Pengarah CIA ketika pentadbiran penggal kedua Presiden AS, Donald Trump, di White House.
Ratcliffe, yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Perisikan Nasional dari 2020 hingga 2021 ketika penggal pertama Trump, dalam satu wawacara berkata keutamaan hari pertamanya adalah menilai asal usul COVID-19.
Ratcliffe, percaya COVID-19 bocor dari Institut Virologi Wuhan, China, menegaskan agensi itu tidak akan lagi berdiam diri.
Sebelum ini, CIA tidak membuat sebarang keputusan sama ada COVID-19 tercetus akibat kebocoran makmal atau disebarkan melalui haiwan.
Seorang pegawai A.S. mendedahkan, perubahan pendirian CIA itu berdasarkan analisis baharu terhadap risikan sedia ada yang diarahkan oleh Pengarah CIA sebelumnya, William Burns, dan ia disiapkan sebelum ketibaan Ratcliffe minggu ini.
Beberapa agensi AS, seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Tenaga, menyokong teori kebocoran makmal, pada tahap keyakinan yang berbeza, manakala kebanyakan komuniti perisikan pula cenderung mengatakan ia berpunca daripada asal usul semula jadi.
Penyokong hipotesis kebocoran makmal sebelum ini menekankan kes terawal COVID-19 diketahui muncul di Wuhan, China – pusat penyelidikan utama koronavirus – terletak kira-kira 1,000 batu dari habitat kelompok kelawar terdekat yang membawa virus seperti SARS.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.