comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Colombia yang terbaharu putuskan hubungan diplomatik dengan Israel

BOGOTA: Colombia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel atas alasan pemimpin rejim itu melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid dalam perang di Gaza.

“Hari ini hubungan diplomatik dengan negara Israel akan terputus… kerana mempunyai presiden yang melakukan pembunuhan beramai-ramai,” kata Presiden Gustavo Petro semalam.

Presiden Colombia, Gustavo Petro ketika berucap kepada rakyatnya yang menghadiri perarakan menyokong pembaharuan dalam sektor kesihatan, persaraan, pekerjaan dan penjara yang dicadangkan kerajaannya, di Bogota, Colombia semalam. – FOTO: Reuters

Petro memaklumkan perkara itu ketika perhimpunan Hari Mei di Bogota yang merujuk kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Petro yang menjadi pengkritik keras terhadap serangan ke atas Gaza memberitahu ribuan penyokongnya bahawa dunia tidak boleh menerima pembunuhan beramai-ramai, pemusnahan seluruh rakyat.

“Jika Palestin mati, kemanusiaan juga mati,” katanya disambut tepukan gemuruh daripada orang ramai, yang sebahagiannya mengibarkan sepanduk pro-Palestin.

Israel bertindak balas dengan menyifatkan Petro sebagai “anti-Semitik dan pembenci,” mendakwa pendirian pemimpin itu sama dengan memberikan ganjaran kepada Palestin.

Hamas memuji langkah itu dan menyifatkannya sebagai kemenangan.

“Kami amat menghargai kedudukan Presiden Colombia Gustavo Petro… yang kami anggap sebagai kemenangan atas pengorbanan rakyat kami dan tindakan adil mereka,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan, menggesa negara Amerika Latin yang lain untuk mengikutinya.

Colombia menyertai Bolivia, Belize dan Afrika Selatan dalam memutuskan atau menggantung hubungan dengan Israel.

Beberapa negara lain turut memanggil pulang diplomat mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini