BEIJING: Perdana Menteri China Li Qiang berkata China menyokong pertubuhan ekonomi antarabangsa memainkan peranan penting dalam tadbir urus global, sementara China akan secara proaktif memikul kewajipan antarabangsa yang sejajar dengan kemampuan diri, dan bersama-sama masyarakat antarabangsa untuk mendorong pertumbuhan ekonomi dunia yang sihat dan mampan.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Dialog “1+10” bersama-sama ketua 10 pertubuhan ekonomi antarabangsa di sini pada Isnin.
Di bawah tema “Bina Konsensus Pembangunan Demi Kemakmuran Bersama Global”, Li bertukar-tukar pandangan dengan Presiden Bank Pembangunan Baharu, Dilma Rousseff, Presiden Bank Dunia, Ajay Banga, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa, Kristalina Georgieva, Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia, Ngozi Okonjo-Iweala, Setiausaha Agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Rebeca Grynspan, Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Gilbert Houngbo, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, Mathias Cormann, Pengurus Besar Bank Penjelasan Antarabangsa, Agustin Carstens, Pengerusi Lembaga Kestabilan Kewangan, Klaas Knot, dan Presiden Bank Pelaburan Infrastruktur Asia, Jin Liqun.
Li menegaskan bahawa China ialah penyokong tegas kepada globalisasi ekonomi dan multilateralisme. Ekonomi China telah menyuntik daya dorongan kuat kepada pertumbuhan ekonomi dunia untuk beberapa dekad lalu.
Beliau berkata dengan mempunyai mekanisme pengoperasian ekonomi yang stabil dengan ruang pertumbuhan yang berpotensi, China bersedia bersama pelbagai pihak untuk memelihara norma asas hubungan antarabangsa dan mekanisme perdagangan pelbagai hala.
Ketua-ketua pertubuhan ekonomi antarabangsa itu masing-masing memberikan penilaian tinggi terhadap pencapaian pembangunan China, di samping mezahirkan keyakinan penuh terhadap transformasi ekonomi dan masa depan China.
Mereka komited untuk meningkatkan kerjasama dengan China, bersama-sama memelihara multilateralisme dan globalisasi, memegang kepada perdagangan bebas, di samping menambah sokongan kepada negara-negara membangun, bersinergi menangani cabaran global termasuk perubahan iklim. – BERNAMA-CMG
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.