Tumpuan :
Dunia

China siarkan video latihan ketenteraan berhampiran Taiwan, bawa mesej sedia bertempur

FOTO: Reuters

BEIJING: Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China, mengeluarkan video propaganda yang memaparkan latihan ketenteraan republik itu berhampiran Taiwan pada Ahad.

Video berkenaan turut memaparkan jet pejuang, kapal perang dan pelancar peluru berpandu balistik yang sedang beroperasi.

Tindakan itu hadir sejurus kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Taiwan yang melaporkan bahawa kumpulan kapal angkatan laut China, telah memasuki perairan berhampiran selat Bashi menghubungkan Laut China Selatan dengan Lautan Pasifik.

China menganggap Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, kerap menggerakkan tentera di sekitar pulau tersebut dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk menguasai Taiwan, yang kini diperintah secara demokratik.

Dalam pada itu, Presiden Taiwan, Lai Ching-te, dalam ucapan Hari Kebangsaan minggu lalu, menegaskan bahawa Republik Rakyat China tidak berhak mewakili Taiwan.

Beliau sebaliknya menyatakan kesediaan Taiwan untuk bekerjasama dengan Beijing dalam menangani isu-isu global seperti perubahan iklim.

Ucapan itu menerima kecaman dari Beijing yang menganggap kenyataan itu sebagai satu bentuk penafian terhadap tuntutan kedaulatan mereka ke atas Taiwan.

Tuntutan China terhadap Taiwan merupakan salah satu isu geopolitik yang paling kompleks dan berlarutan di dunia.

Ia bermula Sejak Perang Saudara China berakhir pada tahun 1949, apabila Parti Komunis China menguasai daratan, dan Parti Nasionalis (Kuomintang) melarikan diri ke Taiwan. Sejak itu, kedua-dua entiti mempunyai sistem pentadbiran berasingan.

Bagaimanapun, hingga kini, China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya dan telah berulang kali menegaskan bahawa ia berhak untuk mengambil alih pulau tersebut, dengan menggunakan kekerasan jika perlu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini