Tumpuan :
Dunia

China mahu bersama ASEAN optimumkan peranan platform CAEXPO

Foto: ASEAN

BEIJING: China dan ASEAN telah merekodkan peningkatan 7.7 peratus dalam perdagangan bilateral yang mencecah US$552 bilion (RM2.3 trilion) pada Januari hingga Julai, menurut jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian.

Dalam sidang media pada Isnin Lin berkata pelaburan langsung di luar pesisir (ODI) China terhadap ASEAN mencatat US$12.96 bilion (RM54.1 bilion) manakala pelaburan langsung asing (FDI) dari ASEAN ke China adalah US$7.3 bilion (RM30.5 bilion), masing-masing meningkat 15.3 peratus dan 14.1 peratus.

China merupakan rakan perdagangan terbesar bagi ASEAN sejak 2009 dan tempoh masa empat tahun lepas telah menyaksikan kedua-dua pihak muncul sebagai rakan dagang terbesar antara satu sama lain.

Sehubungan itu, China bersedia bersama dengan negara-negara ASEAN mengoptimumkan peranan Ekspo China-ASEAN (CAEXPO), memanfaatkan momentum pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas versi 3.0, mempertingkat perdagangan dan pelaburan antara satu sama lain.

China juga akan memperhebat kesalinghubungan rantaian pengeluaran dan pembekalan, bertindak pantas meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang demi situasi sama menang dan mendorong pembentukan Komuniti Berkongsi Nasib China-ASEAN yang lebih padu.

Menurut sidang taklimat CAEXPO ke-21 pada Isnin, lebih 800 daripada lebih 2,000 pempamer atau kira-kira 41 peratus merupakan syarikat asing dengan kebanyakannya dari ASEAN.

Naib Ketua Setiausaha Sekretariat China-ASEAN Zeng Zhong berkata pameran kali ini dilengkapi zon seluas 200,000 meter persegi, dengan 30 peratus antaranya untuk pempamer asing khususnya dari negara ASEAN.

Sekretariat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Pertubuhan Pembangunan Industri Bangsa-bangsa Bersatu (UNIDO) dilaporkan hadir buat pertama kali dalam acara itu.

Untuk rekod, CAEXPO ke-21 yang dijadualkan di Nanning dari 24 hingga 28 September mengangkat tema “Galakkan Pembinaan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN edisi 3.0 dan Pertumbuhan Berkualiti Serantau”.

Malaysia sebagai negara tetamu kehormat akan mengadakan empat kegiatan yang merupakan komponen penting dalam siri aktiviti sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Beijing dan Kuala Lumpur.

–BERNAMA-CMG

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini