BEIJING: China berjaya melancarkan kapal angkasa Shenzhou-19 yang berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan pada Rabu menerusi misi angkasanya yang ke-14.
Kapal angkasa berkenaan membawa tiga kru dan berlepas pada jam 4.27 pagi (waktu tempatan).
Misi Shenzou-19 itu diketuai oleh Cai Xuxhe, yang turut mempunyai pengalaman dalam misi yang sama pada tahun 2022.
Dua lagi kru, Song Lingdong, dan Wang Haoze merupakan antara kru termuda dan menjadikan ia sebagai misi pertama mereka.
Sementara itu, turut mencipta sejarah misi angkasa China, Wang menjadi satu-satunya kru wanita dalam misi itu dan menjadi angkasawan wanita ketiga dari China.
Kejayaan pelancaran itu disahkan Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, selepas pesawat angkasa Shenzhou-19 berjaya memisahkan badan pesawat daripada roket Long March-2F Y19 dan memasuki orbit yang ditetapkan.
Shenzhou-19 akan melakukan pertemuan ‘automatik’ dengan stesen angkasa Tiangong, atau digelar ‘Istana Kayangan’ dalam kalangan masyarakat China.
Angkasawan Shenzhou-19 akan mengambil alih kawalan stesen tersebut selepas melengkapkan rotasi dengan kru Shenzhou-18 yang sedang bertugas.
Mereka dijangka berada di stesen selama enam bulan, dan kru dijangka menjalankan 86 eksperimen sains dan teknologi angkasa, aktiviti luar pesawat, pemasangan pelindung serpihan angkasa, serta pemasangan dan pengitaran peralatan di luar stesen.
kru juga akan terlibat dalam aktiviti pendidikan sains dan kebajikan awam untuk meningkatkan kesedaran tentang sains angkasa dalam kalangan masyarakat umum.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.