LAS VEGAS: Teknologi kecerdasan buatan (AI) diguna untuk mengimbas kandungan buku untuk menjadikan bacaan dalam versi audio atau versi bacaan biasa.
Malah, AI juga dapat menukar kandungan buku dalam bentuk lagu serta mencipta pengalaman seperti di teater.
Teknologi dinamakan “Booxtory” memenangi Anugerah Inovasi Terbaik pada Pameran Elektronik Pelanggan (CES) 2025 di sini.
Sistem itu berfungsi dengan mengimbas buku, mengesan kandungannya dan menukarkannya menjadi pengalaman AI.
“Melalui aplikasi kami, ia dapat mengimbas setiap jenis buku bergambar dan menganalisisnya serta mengesan kandungannya dan menjadikan bacaan itu lebih menyeronokkan,” kata Rachell Son, seorang pekerja di Woongjin ThinkBig.
“Apabila sebuah buku diletakkan di bawah pengimbas, AI dengan serta-merta mengesan halaman-halaman dan mula membaca dengan audio lantang. Ia juga mampu menghasilkan lagu mengenai buku itu dengan menggunakan Mod Lagu. Mod Teater pula mencipta pengalaman seperti di teater mengenai cerita terbabit,” tambahnya.
“Booxtory” juga boleh menterjemah buku ke dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan kanak-kanak dan orang dewasa meneroka pelbagai bahasa ketika membaca buku.
Produk lain yang diperkenalkan adalah AR-Pedia, yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan kandungan buku melalui penanda kertas.
Penanda terbabit boleh mengaktifkan ciri ‘Augmented Reality” (AR).
Pengunjung ke CES 2025, Zainab Hassanali nyata teruja dengan konsep ini.
“Ia adalah buku yang hebat. Saya suka idea seseorang boleh mengimbas banyak buku dan mendengarnya semula,” katanya.
“Seperti segala-galanya, ia bukan mengenai sama ada sesuatu itu baik atau buruk. Ia bergantung kepada cara kita menggunakannya. Ini adalah cara yang sangat positif dalam menggunakan AI,” tambahnya.
CES 2025 yang juga pameran teknologi terbesar dunia berlangsung di sini dari 7 hingga 10 Januari.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.