Tumpuan :
Dunia

CES 2025: Robot haiwan jadi peneman pesakit Demensia

Tombot menarik perhatian pengunjung di CES 2025. – FOTO: Reuters

LAS VEGAS: Haiwan peliharaan ibarat sahabat setia buat pemiliknya.

Namun bagi individu yang menghadapi masalah hilang ingatan seperti pesakit Demensia atau nyanyuk, tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan pastinya membawa seribu satu cabaran.

Terbaharu, inovasi robot haiwan mampu menawarkan penyelesaian dan pengalaman unik khususnya buat insan yang tidak mampu menjaga haiwan peliharaan sebenar.

Tombot iaitu robot yang menyerupai anak anjing dengan nama panggilan ‘Jeanie’ ini pertama kali dipertontonkan kepada umum ketika Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2025 yang berlangsung di sini.

Robot comel ini boleh menggerakkan ekornya serta mampu bertindak balas dengan pemiliknya menerusi deria sentuhan dan arahan suara.

Idea penciptaannya diilhamkan oleh anak kepada seorang pesakit Alzheimer yang juga usahawan Tombot dari California, Tom Stevens.

“Diinspirasikan oleh ibu saya selepas dia didiagnosis dengan Demensia Alzheimer. Saya terpaksa mengambil anjingnya demi keselamatannya dan dia berasa sedih. Saya cuba untuk mencari haiwan peliharaan lain sebagai pengganti sebagai temannya. Namun, dia tidak suka dengan apa sahaja yang saya bawa pulang. Pada masa itulah saya sedar terdapat jurang yang sangat besar di pasaran,” katanya.

Keadaan itu mendorong Stevens untuk mencipta Tombot yang dapat berfungsi sebagai teman robotik kepada manusia.

Ciptaan itu juga mampu mengurangkan simptom Demensia dan Alzheimer sekali gus mengelak pesakit berasa kesunyian, bimbang dan kemurungan.

Lebih menarik, teknologi Tombot ini juga membolehkan ia sentiasa mempelajari dan mengadaptasi perkara baharu setiap hari.

Ini bermakna interaksi dan respons berulang Tombot dengan pengguna dapat dikurangkan.

Robot haiwan ini dijangka memasuki pasaran global menjelang akhir tahun ini.

Ia dijual sekitar AS$1,500 atau hampir RM7,000 seunit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini