Tumpuan :
Dunia

Canselor Austria umum letak jawatan

Ketua Parti Rakyat (OEVP) merangkap Canselor, Karl Nehammer, berucap kepada media semasa pembentangan program pilihan raya mereka di Vienna, Austria, pada 5 September 2024. – FOTO: Reuters

VIENNA: Perbincangan pembentukan kerajaan gabungan antara dua parti terbesar di Austria, Parti Rakyat (OVP) dan Demokrat Sosial (SPO), gagal mencapai kata sepakat. Situasi itu mendorong Canselor Karl Nehammer mengumumkan meletak jawatan beberapa hari akan datang.

Nehammer membuat pengumuman itu menerusi kenyataan video di platform X (dahulunya Twitter) pada Sabtu, selepas rundingan tanpa penyertaan parti kecil, liberal Neos, menemui jalan buntu. Neos sebelum ini menarik diri daripada rundingan, mendakwa pihak lain gagal mengambil tindakan tegas seperti yang mereka sarankan.

“Saya akan melepaskan jawatan sebagai canselor dan ketua Parti Rakyat (OVP) dalam tempoh beberapa hari, bagi memastikan peralihan kepimpinan yang teratur,” kata Nehammer.

Keputusan itu berlaku selepas Parti Kebebasan (FPO) yang bersikap skeptik terhadap EU dan pro-Rusia, muncul sebagai pemenang terbesar dalam pilihan raya Parlimen pada September lalu dengan 29 peratus undian.

Bagaimanapun, FPO memerlukan rakan gabungan untuk membentuk kerajaan, dan Nehammer sebelum ini menolak kerjasama dengan pemimpin FPO, Herbert Kickl.

Presiden Austria, Alexander Van der Bellen, yang merupakan bekas pemimpin parti hijau, telah memberi mandat kepada Nehammer untuk membentuk kerajaan. Namun, dengan pengunduran Nehammer, terdapat dua kemungkinan utama, yakni Kickl diberikan mandat membentuk kerajaan atau pilihan raya tergempar diadakan.

Sokongan terhadap FPO terus meningkat sejak pilihan raya lepas, dengan tinjauan pendapat menunjukkan mereka kini mendahului lebih 10 mata berbanding OVP dan SPO.

Ketua SPO, Andreas Babler, turut mengesahkan kegagalan rundingan tersebut dalam satu sidang media.

“Kami tahu apa yang mungkin berlaku selepas ini. Gabungan FPO-OVP dengan seorang canselor ekstremis kanan yang berpotensi mengancam demokrasi kita dalam banyak aspek,” kata Babler.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini