![](https://media.buletintv3.my/2022/12/FyBpOXVE-CMS-PPZ-13.jpg)
OTTAWA: Dadah jenis candu seberat hampir 2.5 tan metrik bernilai AS$50 juta (RM221 juta) dirampas polis Kanada di pelabuhan Vancouver, British Columbia.
Bahan berkenaan dikesan selepas disembunyikan dalam beberapa kontena transit di pelabuhan itu.
Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada (CBSA) mengumumkan rampasan terbesar itu Jumaat lalu, namun tidak mendedahkan lokasi asal dadah itu, serta sama ada ia turut membabitkan sebarang tangkapan.
Ejen risikan CBSA bersama unit jenayah terancang Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP), menjalankan siasatan sejak September lalu terhadap kemungkinan operasi penyeludupan membabitkan kontena marin.
Menurut CBSA, hasil siasatan membabitkan 19 kontena sehingga hujung Oktober lalu mengesan kejanggalan pada palet perkapalan, yang digunakan untuk menyembunyikan barang seludup.
Vancouver antara pelabuhan paling sibuk dan utama di Kanada bagi kemasukan produk dari Asia ke negara itu.
Sindiket kemasukan candu ke Amerika Utara dikesan sejak bertahun lamanya, dengan kebanyakan di seludup dari Asia.
Kegiatan eksport bahan itu yang semakin meningkat, menjadi cabaran besar buat sektor kesihatan awam Kanada dan Amerika Syarikat.