Tumpuan :
Dunia

Bunuh dua anak selepas diarah mengosongkan rumah

PHILADELPHIA: Seorang ibu tergamak membunuh dua anak lelakinya selepas menerima notis pengusiran sekali gus perlu mengosongkan rumahnya di Pennyslvania, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Memetik laporan oleh Independent UK, Trinh Nguyen, 40, mengaku bersalah pada 20 Disember lalu atas dua pertuduhan membunuh tahap pertama.

Menurut Pejabat Pendakwa Raya Bucks, Nguyen mengaku menembak anak lelakinya, Nelson Tini , 9, dan Jeffrey Tini, 13, di bilik tidur mereka, pada 2 Mei tahun lalu.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital, empat hari selepas kejadian.

Detektif mendapati bahawa Nguyen merancang pembunuhan anak lelakinya itu, seminggu lebih awal.

“Ibu itu meninggalkan wasiat tulisan tangan bertarikh 25 April tahun lalu mengarahkan penerima (mengenai) apa yang perlu dilakukan dengan mayatnya dan anak lelakinya,” tulis pejabat pendakwa raya.

Nguyen juga mengaku bersalah atas satu pertuduhan cubaan membunuh selepas dia cuba menembak jirannya, yang juga sepupu kepada anaknya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Nguyen mengacukan senjata api ke arah Gianni Melchiondo, jirannya dan anak saudara kepada bekas suaminya, kata pejabat pendakwa raya.

Walaupun Nguyen cuba menembak jirannya, tembakan gagal dilepaskan.

Berikutan kesalahan itu, Nguyen berdepan dua hukuman penjara seumur hayat tanpa kemungkinan parol.

“Adalah jelas, bukti kami menunjukkan bahawa defendan mempunyai niat jahat.

“Dia menulis manifesto yang menyatakan apa akan dilakukan dan kamu dapat melihat sepanjang kebenciannya terhadap orang lain dan orang yang disalahkan,” kata Penolong Pertama Pendakwa Raya, Jen Schorn.

Pejabat pendakwa raya menyatakan bahawa Nguyen diberi notis pengusiran dan sepatutnya mengosongkan kediamannya pada 3 Mei tahun lalu, sehari selepas tembakan maut itu.

Menurut pihak berkuasa, Nguyen melarikan diri ke New Jersey untuk mendapatkan dadah dalam cubaannya untuk membunuh diri selepas melakukan jenayah itu.–AGENSI

Loading...
Terkini