GAZA: Angka korban rakyat Palestin di Gaza meningkat lebih 12,000 orang dengan 5,000 daripadanya adalah kanak-kanak, menurut pejabat media Palestin.
Manakala lebih 3,750 rakyat Palestin hilang termasuk 1,800 kanak-kanak, dipercayai masih di bawah runtuhan.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan gangguan dalam komunikasi disebabkan serangan tentera rejim yang berterusan menjejaskan sebarang kemas kini mengenai anggaran kecederaan dan kematian sepanjang empat hari lalu.
Sektor kesihatan di Gaza kini dalam keadaan kritikal dengan 65 peratus daripada kemudahan penjagaan primer tidak berfungsi dan 69 peratus hospital tidak beroperasi.
Sementara itu, PBB terus menggesa Israel membenarkan air bersih dan bahan api masuk ke Gaza untuk mengaktifkan rangkaian bekalan air dan mencegah krisis kemanusiaan.
Pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia terhadap air minuman dan sanitasi yang selamat, Pedro Arrojo-Agudo, menekankan tindakan menghalang bekalan yang diperlukan penduduk adalah melanggar undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.
Semalam, pegawai tertinggi PBB mengulangi gesaan gencatan senjata bagi membolehkan bantuan sampai kepada 2.2 juta orang yang terperangkap dalam konflik berdarah antara Israel dan Palestin.
“Keperluan dari sudut kemanusiaan adalah mudah. Hentikan pertempuran untuk membolehkan orang awam bergerak dengan selamat.
“Kami tidak meminta bulan bintang… kami hanya meminta langkah asas yang diperlukan untuk memenuhi keperluan penting penduduk awam dan membendung perjalanan krisis ini,” kata Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB.
Griffiths juga menggesa semua tebusan yang ditahan di Gaza dibebaskan tanpa syarat. – AGENSI