comscore
Tumpuan :
Dunia

Bukan 27,000, tetapi lebih 50,000 warga Palestin terkorban angkara Israel – Ahmed

Ahmed Abu Ayesh meneruskan usaha memberikan bantuan makanan kepada penduduk Palestin di Gaza yang terus menjadi sasaran serangan Israel.

KUALA LUMPUR: Warkah pilu dari Gaza. Itu antara coretan meruntun hati dikongsikan Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar yang masih berjuang membela nasib penduduk di Gaza.

Memasuki hari ke-120 serangan tanpa henti Israel di Semenanjung Gaza semalam, hanya air mata dan harapan kabur dapat dikongsikan beliau melalui mesej dihantar melalui WhatsApp.

“Saya harap semuanya sihat. Saya sedang menaip mesej ini. Tidak pasti sama ada anda membalas mesej terakhir saya atau tidak.

“Saya meminta maaf kerana tidak menghubungi anda kerap seperti dulu. Situasi di bandar saya di Khan Younis benar-benar berbahaya dan kami dikelilingi kematian setiap hari,” katanya.

Menurutnya, penyeksaan dilalui jutaan penduduk Gaza sukar digambarkan dengan tulisan.

“Anda tidak boleh membayangkan keadaan Gaza. Ini bukan perang! Ia adalah pembersihan etnik tulen dan pembunuhan beramai-ramai.

“Saya sudah menggunakan semua sumber yang ada untuk membantu penduduk di Gaza. Saya bersedia melakukan apa sahaja untuk memastikan penduduk Gaza dapat terus bertahan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun data mendakwa hampir 27,000 penduduk Gaza terkorban setakat ini namun dia yakin angka sebenar melangkaui jumlah berkenan.

“Saya menyaksikan kematian setiap hari, saya yakin jumlah rakyat Gaza yang terkorban dibunuh tentera Israel setakat ini melangkaui 50,000 orang.

ASAP mengepul di atas bangunan semasa pengeboman tentera rejin Zionis di Khan Younis. – FOTO: Reuters

“Malah lebih 10,000 lagi penduduk Gaza masih terperangkap atau terkorban di bawah runtuhan kediaman yang diletupkan roket dan bom sejak serangan Israel bermula 7 Oktober tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, ribuan lagi mayat mangsa penduduk Gaza turut berada di jalanan dan tidak dapat diuruskan untuk pengebumian.

“Ia berikutan tindakan ganas tentera rejin Zionis yang masih meneruskan operasi pembunuhan kejam selain menembak sesiapa sahaja ditemui.

“Amat menyedihkan apabila kucing, tikus, gagak dan anjing memakan mayat para syuhada ini,” katanya.

Ahmed Abu Ayesh berkata, usahanya untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk Gaza berdepan masalah besar apabila kenderaan digunakan bagi mengangkut makanan turut musnah akibat serangan Zionis.

“Kenderaan sumbangan rakyat Malaysia melalui pertubuhan Muslim Care Malaysia (MCM) itu musnah apabila tentera Zionis menyasarkan serangan roket dan bom terhadap dua bangunan.

“Runtuhan konkrit dan bangunan itu menghempap kenderaan MCM dan mengakibatkan kawasan sekitarnya menjadi padang jarak padang tekukur,” katanya.

Seorang wanita Palestin cuba mendapatkan isyarat internet untuk berhubung dengan ahli keluarga. – FOTO: Reuters

Beliau berkata, operasi pembunuhan genosid bagi menghapuskan seramai mungkin penduduk Palestin di Gaza belum memperlihatkan penghujung.

“Belum ada tanda-tanda ia akan berakhir. Tiada gencatan senjata dan Semenanjung Gaza akan terus menjadi pusara bagi penghuninya.

“Terlalu banyak yang perlu saya lakukan bagi memenuhi permintaan dan keperluan makanan bagi penduduk Gaza. Saya masih berusaha menyediakan makanan, memasak dan mengagihkannya setiap hari,” katanya.

Warga Palestin berkumpul untuk menerima agihan bantuan makanan. – FOTO: Reuters

Beliau berharap bantuan disalurkan kepada penduduk Gaza melalui MCM tidak terhenti dan diteruskan oleh rakyat Malaysia.

“Semoga Allah SWT memberi ganjaran kepada anda semua atas usaha murni untuk membantu Palestin. Semoga Allah SWT melindungi anda dan keluarga anda dan tidak pernah membiarkan sesiapa pun daripada anda merasai atau mengalami apa yang kami hadapi di Gaza,” katanya.

Ahmed Abu Ayesh sebelum ini terselamat walaupun cedera parah dalam serangan bom yang menyasarkan rumahnya di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 11 Januari lalu.

Beliau yang cedera di kepala dan tubuh bagaimanapun berjaya dibawa keluar dari celah runtuhan konkrit sebelum dihantar ke hospital.

Beliau adalah wakil MCM dan juga sukarelawan MCM di Gaza yang menyalurkan bantuan asas selain menyediakan makanan harian dimasak oleh pasukan ditubuhkan sejak 7 Oktober lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini