Tumpuan :
Dunia

Bot laju terbalik, 3 maut, 4 hilang di Kalimantan Utara

Foto hiasan

JAKARTA: Sebuah bot laju yang membawa 30 penumpang terbalik di Sungai Temangga, Bulungan, Kalimantan Utara, mengakibatkan tiga maut dan empat lagi hilang, semalam.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku sekitar 1.30 tengah hari waktu tempatan selepas bot itu melanggar kayu hanyut besar sebelum tenggelam.

Ketua Polis Kalimantan Utara, Inspektor Jeneral Hary Sudwijanto, berkata operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan.

“Kami memaksimumkan usaha pencarian di sepanjang Sungai Kayan.

“Pasukan gabungan telah dihantar ke beberapa lokasi strategik untuk mempercepatkan proses ini. Keutamaan kami adalah menyelamatkan mangsa yang masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan.

Bot tersebut berlepas dari Pulau Tias, Tanjung Palas Tengah, menuju ke Tanjung Selor selepas penumpangnya menghadiri majlis perkahwinan.

Mangsa yang terselamat, termasuk yang memerlukan rawatan, telah dibawa ke hospital di Tanjung Selor dengan bantuan bot laju berhampiran dan pasukan penyelamat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini