JAKARTA: Sebuah bot yang membawa 111 pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak, mendarat di pantai wilayah paling utara Indonesia di Aceh hari ini, kata pihak berkuasa negara itu.
Kedatangan mereka itu paling terbaharu penghijrahan tahunan pelarian dari barat laut Myanmar.
Rohingya, minoriti Islam yang teraniaya, sudah bertahun-tahun belayar ke negara jiran seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia antara November dan April apabila keadaan laut lebih tenang.
Di Myanmar, secara umumnya kumpulan etnik Rohingya dianggap sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh, walaupun dilahirkan di Myanmar.
Jurucakap kerajaan Aceh Utara, Hamdani, berkata kesemua 111 pelarian termasuk 27 wanita dan 18 kanak-kanak yang berada di atas bot itu berada dalam keadaan sihat.
“Mereka sudah dibawa ke darat. Mereka dilayan dengan baik,” katanya sambil menambah mereka tinggal di kampung berhampiran.
Katanya, pihak berkuasa dijangka bertemu dengan mereka hari ini, bagi memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan kumpulan itu.
Lebih 730,000 Muslim Rohingya melarikan diri dari Myanmar pada 2017 selepas tindakan keras tentera yang menurut saksi termasuk pembunuhan besar-besaran dan rogol.
Kumpulan hak asasi manusia mendokumentasikan keadaan yang berlaku iaitu pembunuhan orang awam dan pembakaran kampung. – REUTERS