Tumpuan :
Dunia

Borrel kecewa, tidak mampu hentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrel. FOTO: Reuters

OVIEDO: Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) yang akan bersara, Josep Borrell berkata pada Jumaat bahawa beliau meninggalkan Brussels dengan perasaan kecewa berikutan ketidakmampuan untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Borrell, dalam wawancara rasmi terakhirnya sebagai wakil tertinggi EU untuk hal ehwal luar, menggambarkan situasi di Gaza kepada penyiar Sepanyol RNE sebagai ‘Dantean’ merujuk kepada ‘pemandangan neraka’ yang digambarkan oleh penulis Itali, Dante, lapor Agensi Anadolu.

“Terdapat 250,000 orang di utara yang tidak lagi dibekalkan oleh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) kerana mereka tidak dapat memasuki kawasan itu dan tidak dapat menawarkan apa-apa kepada mereka. Keadaan keselamatan sangat buruk. Jadi, apa yang akan berlaku? Mereka akan mati akibat kelaparan, penyakit, dan ditinggalkan,” kata Borrell.

“Dunia tidak sedar apa yang berlaku di sana dan kami yang sedar, tidak dapat membuka pintu untuk membawa bantuan supaya mereka ini boleh terus hidup,” katanya.

Ahli politik Sepanyol yang menjadi diplomat utama EU pada Disember 2019 itu berkata, dunia telah menjadi lebih teruk sejak beliau menggalas tanggungjawab berkenaan.

Selain daripada ketidakmampuan untuk menghentikan serangan ke atas Gaza, beliau turut menekankan ketegangan yang semakin meningkat di seluruh Asia Barat, terutamanya antara Israel dan Iran.

“Ia kelihatan baik buat masa ini, tetapi ia adalah sebuah tong serbuk letupan  di mana sesuatu yang lebih serius boleh berlaku,” katanya.

Satu-satunya titik positif yang disebutnya adalah gencatan senjata Lubnan yang berkuat kuasa pada Rabu, meskipun beliau memberi amaran ia sangat rapuh kerana Israel, yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS), mempunyai hak untuk campur tangan jika sesuatu tidak berjalan mengikut kehendak mereka.

Ditanya jika beliau mempunyai sebarang nasihat untuk penggantinya, Kaja Kallas, bekas Perdana Menteri Estonia, beliau berkata tidak, kerana Kallas membawa pengalaman yang lebih daripada cukup.

Borrell berkata, orang Eropah tidak lagi boleh menganggap diri mereka sebagai tumpuan dunia kerana mereka hanya mewakili lima peratus daripada populasi global, mempunyai kekuatan ekonomi yang semakin berkurangan, kadar kelahiran yang rendah dan pertahanan yang lemah.

“Perang di Ukraine membantu kita bangun. Tetapi kadang-kadang kita bangun, berpusing, dan kembali tidur. Ia bukan tentang bangun, ia tentang bangkit daripada katil dan pergi bekerja kerana masa yang mencabar dan kedudukan Eropah adalah rapuh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini