LONDON: Pelakon British Dame Maggie Smith, yang terkenal dengan watak ikoniknya dalam Downton Abbey dan siri filem Harry Potter, meninggal dunia pada Jumaat pada usia 89 tahun.
Berita ini disahkan oleh anak-anaknya, Chris Larkin dan Toby Stephens, lapor Agensi Anadolu.
Dame Maggie meninggal dunia di hospital, dikelilingi oleh rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat. “Sebagai seorang yang sangat menjaga privasi, beliau berada bersama rakan-rakan dan keluarga pada saat akhir,” kata anak-anaknya.
“Beliau meninggalkan dua anak lelaki dan lima cucu yang sangat menyayanginya, yang berasa amat sedih dengan kehilangan ibu dan nenek mereka yang luar biasa.”
Kerjayanya yang cemerlang menjangkau lebih enam dekad. Beliau memenangi dua Anugerah Akademi: Pelakon Wanita Terbaik untuk The Prime of Miss Jean Brodie pada tahun 1969 dan Pelakon Pembantu Terbaik untuk California Suite pada tahun 1978.
Beliau kemudiannya memikat hati generasi baharu peminat melalui wataknya sebagai Violet Crawley, Countess Balu Grantham dalam Downton Abbey, serta Profesor Minerva McGonagall dalam siri filem Harry Potter. – BERNAMA-ANADOLU AGENCY
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.