WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Presiden terpilih, Donald Trump kedua-duanya mendakwa memainkan peranan besar dalam mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza selepas melalui beberapa siri rundingan.
Dalam mengumumkan gencatan senjata itu, Biden menyatakan bahawa perjanjian akhir itu sebahagian besarnya meniru rangka kerja cadangan yang dibuat beliau pada Mei tahun lalu.
Biden ‘menghadiahkan’ senyuman apabila ditanya oleh wartawan siapa yang layak menerima pujian dalam sejarah untuk gencatan senjata itu dan bertanya: “Adakah itu satu jenaka?”
“Pelan ini telah dibangunkan dan dirundingkan oleh pasukan saya dan akan dilaksanakan terutamanya oleh pentadbiran yang akan datang.
“Itulah sebabnya saya memberitahu pasukan saya untuk memaklumkan sepenuhnya kepada pentadbiran yang akan datang,” kata Biden dalam ucapan perpisahannya pada malam Rabu dari Pejabat Oval.
Dalam pada itu, Trump dalam satu muat naik di media sosial, pantas menegaskan beliau layak untuk diberi kredit atas untuk kejayaan itu
“Perjanjian gencatan senjata yang epik ini hanya boleh tercapai sebagai hasil daripada kemenangan bersejarah kami pada bulan November.
“Ia menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa pentadbiran saya akan mencari keamanan dan merundingkan perjanjian dalam memastikan keselamatan semua rakyat Amerika dan sekutu kami,” katanya.
Trump turut menghantar utusannya ke Timur Tengah, Steve Witkoff, untuk menyertai rundingan di Doha, dan Witkoff berada di sana untuk 96 jam terakhir perbincangan yang membawa kepada perjanjian itu.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden dalam taklimat kepada wartawan mengakui peranan Witkoff dalam membantu mencapai perjanjian itu, bekerja bersama utusan Biden, Brett McGurk, yang telah berada di Doha sejak 5 Januari.
Sementara itu, Jurucakap Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, memberitahu wartawan bahawa Biden mahu pasukan Trump terlibat kerana Trump akan bertanggungjawab untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.